TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim sudah melakukan pertemuan bersama Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung staus Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) pada pagi Selasa.
Menerusi perjumpaan tersebut, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu memaklumkan beliau telah pun melontarkan pandangannya berhubung isu tersebut kepada KPT.
"(Saya) faham perancangan yang ada di peringkat KPT dan saya boleh katakan sebenarnya banyak perkara positif yang KPT cuba untuk bentangkan.
"Tadi pun saya nyatakan bahawa saya percaya KPT boleh berjumpa dengan lebih ramai pemegang taruh untuk dapatkan pandangan berbeza dan kita di peringkat awal pentadbiran, banyak ruang untuk penambah baikan.
"Jadi saya tidak khuatir," katanya kepada Majoriti.
Pakatan Harapan (PH) menerusi manifestonya ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) antara lain menjanjikan untuk memansuhkan AUKU.
Pada 24 Februari lalu, Mohamed Khaled ketika di Parlimen memaklumkan kerajaan tidak mempunyai cadangan untuk memansuhkan akta tersebut dan menyifatkan ia masih relevan terutamanya dalam hal melibatkan urus tadbir universiti.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi itu bagaimanapun berkata, kementerian sentiasa terbuka terhadap sebarang cadangan dan pandangan untuk menambah baik akta sedia ada.
Tambahnya, libat urus dengan pihak berkepentingan seperti pelajar, kakitangan akademik dan pengurusan universiti terus dilaksanakan bagi mendapat input terkini agar penambahbaikan Auku dapat memenuhi kehendak pemegang taruh mengikut peredaran zaman.
Khaled menjelaskan kementerian dan universiti awam kini sedang dalam fasa akhir menyediakan beberapa garis panduan bersesuaian untuk memberi lebih kebebasan kepada pelajar dalam menguruskan aktiviti pelajar dan dalam menyertai kegiatan politik di dalam dan luar kampus.
Mohamed Khaled baru-baru ini memaklumkan kerajaan tidak mempunyai cadangan untuk memansuhkan akta tersebut dan menyifatkan ia masih relevan terutamanya dalam hal melibatkan urus tadbir universiti.
Adam yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan berkata, sebagai anggota pentadbiran, beliau turut memikul tanggungjawab kolektif berhubung pendirian kerajaan dalam isu tersebut.
Dalam pada itu, beliau yang merupakan bekas aktivis mahasiswa berkata, pertemuan bagi membincangkan mengenai AUKU itu agak menarik kerana Mohamad Khaled merupakan individu menerajui KPT semasa beliau digantung daripada pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2012.
"Jadi bila saya jumpa, 10 tahun lalu saya masih pelajar, jadi macam jejak kasih.
"Tapi kita kena ingat 2012 itu juga banyak penambahbaikan dan pindaan terhadap yang sangat signifikan terhadap AUKU.
"Jadi sebab itu saya kata KPT sebelum ini waktu Datuk Seri Mohamed Khaled dia dah pernah buat beberapa pembaharuan. Sekarang pun saya percaya dia sentiasa terbuka untuk sambung apa yang belum disiapkan sebelum ini," ujarnya.
Semasa menjadi aktivis pelajar, Adam pernah ditahan dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 akibat penglibatannya dalam beberapa siri demonstrasi antara tahun 2013 hingga 2015.
Penglibatannya sebagai aktivis juga menyebabkan beliau terpaksa menghadapi penggantungan pengajian selama lima tahun ketika menuntut di UPSI.
Sementara itu, Adam tidak dapat memberikan kepastian ketika ditanya berhubung masa depan akta tersebut sama ada ia bakal dimansuhkan atau tidak.
Bagaimanapun, beliau yakin perbincangan mengenai akta tersebut akan terus berjalan secara terbuka dengan beberapa pindaan dijangka bakal dilakukan.
"Untuk rekod, sebanyak tujuh pindaan dibuat terhadap akta ini. Akan datang pasti ada pindaan lagi. Jadi (nama mungkin sama) tapi isinya dah berbeza.
"Mungkin di masa hadapan, terus diperkenalkan akta lain. Sebelum ini pun banyak jawatankuasa dah dibuat. Saya harap kita dapat lihat lebih banyak perubahan yang substantif bukan hanya dari segi kosmetik, itu yang lebih penting," ujarnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram