'Back to root', bekas graduan Selangor FC bakal ke JDT dengan status naturalisasi?


  • Podium
  • Rabu, 01 Mac 2023

Armin (kiri) pernah beraksi bersama skuad simpanan Selangor FC pada awal kariernya. — Instagram/armin_97

SEKIRANYA dilihat skuad yang dimiliki Johor Darul Takzim (JDT) ketika ini, mereka sudah mempunyai kualiti tersendiri di setiap posisi.

Gabungan antara pemain tempatan dan import yang dibawa pihak pengurusan sudah membuahkan hasil apabila mereka berjaya menawan Piala Sumbangsih ketika berdepan Terengganu FC Feburari lalu.

Namun, bagi pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, kebangkitan dan kemaraan JDT tidak hanya terhenti di situ.

Seperti mana yang kerap ditekankan, juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu perlu membuat rancangan rapi bagi memastikan kejayaan yang dikecapi dapat diteruskan.

Jadi, tidak hairanlah apabila skuad Harimau Selatan giat mendapatkan khidmat pemain muda setiap kali jendela perpindahan untuk diletakkan dalam pasukan simpanan mahupun senior.

Baru-baru ini, penyokong JDT sekali lagi menerima suntikan semangat apabila khabar angin mengatakan pasukan Selatan tanah air itu bakal membawa masuk bakat bersinar kelahiran Singapura.

Pemain tengah berusia 26 tahun, Armin Maier Rafi dikatakan semakin hampir menyertai skuad Harimau Selatan selepas dia tidak lagi terikat dengan kelab berpangkalan di Jerman, SV Heimstetten.

WhatsApp Image 2023-03-01 at 12.24.11

Armin berkongsi satu foto yang memaparkannya bersama pemilik JDT itu. Instagram/armin_97

Hal tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram peribadi miliknya memaparkan dia bertemu TMJ baru-baru ini.

"Pulang ke pangkal, Johor selama-lamanya," tulis Armin.

Sebelum ini, pemain berketinggian 1.82m itu pernah dikaitkan dengan kepulangan ke Liga Malaysia menerusi satu hantaran dengan kapsyen memaparkan Jalur Gemilang.

Berdasarkan ura-ura itu, dia dikatakan bersedia untuk menyertai Kuala Lumpur (KL) City FC atau pulang ke Selangor FC yang pernah disertainya ketika remaja.

Lebih menarik lagi, beberapa laporan menyebut bahawa pemain tengah itu sudi untuk menyarung jersi Harimau Malaya selepas jarang mendapatkan peluang beraksi di peringkat antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram