Darren Lok tak sabar-sabar nak robek gawang Kelantan United


  • Podium
  • Rabu, 01 Mac 2023

Pemain skuad kebangsaan itu menyertai Sabah FC dengan reputasi cukup besar. — Facebook/Sabah FC

PENYERANG skuad kebangsaan, Darren Lok menyatakan hasratnya untuk menjaringkan gol kompetetif pertamanya bersama Sabah FC ketika pertembungan Liga Super bersama Kelantan United.

Perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Likas, Sabah pada Rabu itu pastinya platform terbaik buat pemain tersebut bagi mencipta namanya dalam skuad Sang Badak.

"Sudah tentu, sebagai seorang penyerang, anda pasti mahu menjaringkan gol dengan lebih kerap, tetapi pada masa yang sama, saya juga mahu membantu pasukan membawa pulang tiga mata penuh.

"Kami memulakan kempen musim ini dengan cukup baik ketika berdepan PDRM FC, namun pasti ada sesuatu yang kami mahu tambah baik dalam setiap perlawanan," katanya.

Dalam aksi pembukaan Liga Super Jumaat lalu, Sabah FC mencatatkan kemenangan pertama selepas menundukkan skuad Sang Saka Biru 4-0 menerusi jaringan Stuart Wilkin, Park Tae-su dan dua gol daripada Saddil Ramdani.

Keputusan itu menyaksikan mereka berada di tangga teratas berdasarkan perbezaan gol yang mana pastinya diharapkan mampu memacu pasukan Borneo itu untuk terus ke hadapan.

Tambah Darren, dia tidak mahu berasa terlalu selesa dengan kemenangan yang dicatatkan itu dan mengharapkan prestasi berkenaan dapat diteruskan ketika bertemu skuad Kijang Hijau.

"Sangat penting untuk kami kekal konsisten sepanjang musim, jadi kami akan berdepan Kelantan United dengan harapan membawa pulang tiga mata selain menambah baik persembahan yang dipamerkan.

"Kami tahu bahawa mereka merupakan sebuah pasukan yang cukup baik. Ketika berdepan Selangor FC, mereka cukup tersusun dengan adanya pemain-pemain berpengalaman," katanya.

Musim lepas, Darren Lok muncul sebagai penjaring tempatan terbanyak dalam saingan Liga Super bersama Petaling Jaya (PJ) City FC.

Prestasi cemerlang itu sedikit sebanyak mendesak ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee untuk mendapatkan khidmatnya bagi meningkatkan kualiti jentera serangan pasukan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram