[VIDEO] Mahu Perak FC bersih, laporan terhadap 'football hooligan' sudah dibuat


  • Podium
  • Selasa, 28 Feb 2023

Segelintir penyokong menunding jari ke arah golongan kasual sebagai punca pergaduhan di Stadium Ipoh Sabtu lalu. — Facebook/Info Bolasepak Perak

PERAK FC memulakan kempen Liga Super 2023 mereka dengan langkah kiri apabila tewas 1-4 di laman sendiri ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC Sabtu lalu.

Meskipun mendahului seawal minit ketiga, dua layangan kad merah menyaksikan anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim longlai di hadapan ribuan penonton.

Kekalahan tersebut sedikit sebanyak menyebabkan rata-rata daripada penyokong The Bos Gaurus (TBG) tidak meletakkan harapan tinggi terhadap pasukan itu.

Lebih teruk lagi, perlawanan tersebut dicemari dengan insiden kurang menyenangkan apabila tercetusnya pertelingkahan di Stadium Ipoh, Perak.

Berdasarkan tinjauan di media sosial, terdapat andaian bahawa kekacauan berkenaan berpunca daripada sebilangan penyokong yang sememangnya mahu melakukan kerosakan setiap kali hadir ke stadium.

Selain itu, ada juga yang mengatakan bahawa golongan tersebut dikategorikan sebagai kasual, yang mana tidak sama sekali terlibat dengan penyokong tegar Perak FC.

Kekecohan yang berlaku di Stadium Ipoh mencalarkan imej Perak FC. Facebook/Ren Naz

Jadi, dalam usaha untuk membanteras gejala samseng dalam bola sepak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab berkenaan, Bobie Farid Shamsudin berikrar bagi mengambil tindakan sewajarnya.

Perkara itu disampaikan menerusi sebuah akaun Facebook TBG Super Fan yang sepertinya mewakili suara peminat setia Perak FC dalam pelbagai sudut.

"Ramai betul yang mesej saya mengenai ICF (kumpulan kasual) ni. Ya, kami sudah membuat laporan polis, gambar dan video juga sudah disertakan dalam laporan kami.

"Insya-ALLAH, kami akan pastikan Perak FC bersih daripada golongan football hooligan ini. Saya amat menghargai gambar dan video yang diberikan kepada kami oleh semua penyokong yang sayangkan kelab ini," tulisnya.

Sebelum ini, pasukan kedua tercorot Liga Perdana 2022 itu juga pernah terpalit dengan isu sama ketika pertembungan bersama Kelantan FC dalam saingan liga musim lalu.

Walaupun tiada kecederaan yang dilaporkan, insiden berkenaan serba sedikit menconteng arang terhadap nama baik yang cuba dibangunkan pihak pengurusan.

Tindakan berkenaan sudah pasti menerima respons positif daripada rata-rata penyokong Perak FC yang juga sudah bosan dengan kelakuan kurang sopan golongan tersebut.

"Biarlah kurang penyokong sekali pun, kerana mereka ini bukanlah peminat setia pasukan. Nanti kalau dikenakan tindakan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) lebih teruk akibatnya," kata Emdy Stevie G.

"Harapnya pihak berkuasa, terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) ambil tindakan sekeras-kerasnya kepada puak-puak ini," kata Adzha Abdullah.

"Terbaik. Bukan apa, sekarang ni, saya rasa ramai pihak yang sedang perhatikan kami. Risau melarat akan dikenakan dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan bermain dalam stadium kosong," kata Bobby Richie Cabana Osman.

Perak FC bakal berkunjung ke Stadium MBPJ, Selangor pada Selasa bagi pertemuan bersama PDRM FC dalam usaha membawa pulang mata pertama Liga Super musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram