PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad menyatakan rasa syukurnya apabila pasukan di bawah bimbingannya itu berjaya membawa pulang satu mata ketika berdepan Negeri Sembilan FC.
Menurutnya, kegagalan beberapa pemainnya untuk menyerlahkan aksi terbaik merupakan antara punca Sri Pahang gagal dalam mencatatkan kemenangan di samping menjelaskan terdapat beberapa kelemahan perlu diperbaiki.
“Keputusan seri masih boleh diterima kerana memang matlamat kita untuk dapatkan tiga atau satu mata, tetapi secara keseluruhan saya kurang berpuas hati dengan permainan kita.
“Kita lemah dalam game-control, kita tak pandai untuk mengawal situasi, sama ada kita boleh menang atau tak boleh. Kita jadi kelam kabut apabila ada kecederaan, kita tahu boleh dominasi perlawanan tapi kelam kabut bila 2-3 minit terakhir," katanya kepada sripahangfc.com.my.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Ahad itu berkesudahan 1-1 hasil jaringan penyerang skuad Jang, Casagrande dan pemain Tok Gajah, Malik Mat Arif.
Aksi sengit di Stadium Darul Makmur menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi mata. — Facebook/Sri Pahang FC
Tambah jurulatih kelahiran Singapura itu, beberapa perubahan yang dilakukan dalam perlawanan mencetuskan perbezaan buat Sri Pahang FC.
“Kemasukan Malik dan Kevin (Ingreso) memang banyak membawa perubahan, setelah Malik masuk, permainan menyerang menjadi lebih berbahaya kerana dia lincah, kecil, bermain hantaran satu dua, Kevin pula agak tenang kawal tengah,” tambahnya lagi.
“Babak pertama mungkin kita kurang jelas permainan kita pasal kita selalu main passing football, tapi pasal kerana angin, mereka ambil kesempatan selalu main bola tinggi," katanya.
Fandi dilantik sebagai ketua jurulatih oleh pihak pengurusan Sri Pahang bagi menggantikan Datuk Dollah Salleh yang ketika ini menggalas jawatan pengurus pasukan.
Dia sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pengendali kepada beberapa pasukan, termasuk Johor Darul Takzim (JDT) dan skuad kebangsaan Singapura.
Skuad Tok Gajah bakal menerima kunjungan Kelantan FC dalam perlawanan kedua Liga Super yang mana pastinya memerlukan keazaman bagi membolehkan mereka mencatatkan kemenangan pertama musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram