PERLAWANAN antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu FC (TFC) pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah pada Rabu bakal menjadi pertembungan istimewa terutama buat Ketua Jurulatih Sang Kenari, Mohd Nafuzi Mohd Zain.
Mohd Nafuzi yang merupakan bekas pengendali TFC berkata, ini kerana anak buahnya akan berdepan dengan pasukan yang pernah dibimbingnya pada 2020 hingga 2022.
"Saya tidak sangka, awal pula kita (KDA FC) akan jumpa dengan TFC tetapi perlawanan ini agak ‘istimewa’ kerana karier saya semuanya bermula di Terengganu.
"Masing-masing saling mengenali, saya kenal pemain dan ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner dan mereka juga kenal saya macam mana sebagai bekas ketua jurulatih.
"Majoriti pemain tempatan TFC musim ini pernah bersama saya kecuali pemain import baharu, jadi esok kita akan berdepan dengan satu tugasan berat walaupun bermain di laman sendiri,” katanya pada sidang media sempena perlawanan berkenaan pada Selasa.
KDA FC memperoleh kemenangan sulung ketika aksi menentang Perak FC. — Facebook
Sementara itu, Nafuzi berkata, Terengganu juga pasukan terbaik tahun ini kerana sedang bersiap untuk beraksi dalam kancah Piala AFC 2023 selain dilihat sudah semakin matang, berpengalaman dan hebat beraksi di padang berbanding semasa bersama dirinya dahulu.
Tambah Nafuzi, dari segi persiapan pasukan menentang TFC, KDA FC perlu memberi fokus yang tinggi terutama pada tempoh 45 minit pertama perlawanan bagi memastikan pasukan berada di kedudukan yang selesa.
"Sebelum ini TFC tewas ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT). Bukan mudah untuk menewaskan pasukan terbaik di negara ini tetapi saya tahu pemain TFC ini semangat mereka tinggi dan sudah pastinya mereka tidak mahu tewas di Kedah.
"Tambahan pula, fizikal pemain TFC lagi baik daripada kita tetapi itu tidak menjadi penghalang buat pemain untuk beraksi cemerlang.
"Saya yakin dengan kemampuan semua pemain KDA FC ditambah pula dengan sokongan padu penyokong Sang Kenari, kita akan cuba hadiahkan tiga mata pada perlawanan esok,” katanya.
Sokongan daripada penyokong memberi motivasi kepada Lee Tuck untuk beraksi lebih baik. — Facebook
Dalam pada itu, pemain tengah KDA FC, Lee Tuck berkata, dia bersama pemain lain yakin untuk menentang TFC dan walaupun mempunyai sejarah pernah bersama pasukan Terengganu, dia akan memberi persembahan terbaik.
"Saya ada Nafuzi di sisi saya, jadi ia memudahkan saya untuk bermain bola sepak.
"Musim ini memang agak sukar kerana banyak pasukan yang bagus tetapi kita juga ada pemain-pemain yang hebat, jadi kita perlu dapatkan keputusan yang baik bagi setiap perlawanan.
"Ini kali pertama bermain di Darul Aman, walaupun berdepan tekanan, dengan sokongan peminat, saya sangat teruja dan ia memberi motivasi kepada saya untuk beraksi lebih baik,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram