TIDAK boleh dinafikan bahawa gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool sedang bergelut musim ini selepas tidak melakukan pelaburan berhemah sepanjang dua jendela perpindahan.
Dalam saingan liga, mereka hanya menduduki tangga ketujuh selepas mengumpul 36 mata daripada 23 perlawanan, sembilan mata dibezakan dengan pasukan di tangga keempat, Tottenham Hotspur.
Masalah tersebut turut berulang di pentas Liga Juara-juara UEFA (UCL) apabila mereka tewas di tangan Real Madrid 2-5 dalam aksi pertama peringkat kalah mati.
Jadi, beberapa laporan mula menyebut sebahagian besar skuad The Kop tidak gembira dengan situasi tersebut selain mula menyatakan hasrat untuk meninggalkan kelab berkenaan.
Antara khabar angin yang mula bertiup hangat adalah mengenai perpindahan bintang sayap Liverpool, Mohamed Salah meskipun baru sahaja menyambung kontraknya musim panas lalu.
Salah dikatakan tidak gembira dengan situasi Liverpool ketika ini. — Agensi
Pemain berusia 30 tahun itu dilaporkan bersedia untuk menyertai kelab-kelab lain di Eropah sekiranya The Reds gagal melayakkan diri ke pentas UCL musim depan.
Setelah menyertai pasukan England itu pada 2017, penyerang kelahiran Mesir tersebut berjaya meletakkan diri sebagai antara pemain terbaik EPL.
Pandangan tersebut diterjemahkan dengan kejayaannya untuk muncul sebagai penjaring terbanyak liga sebanyak tiga kali, iaitu pada 2018, 2019 dan 2022.
Kehadiran Salah juga banyak membantu Liverpool muncul sebagai antara pencabar kejuaraan apabila mereka muncul sebagai juara dalam beberapa kejohanan disertai.
Sebelum ini, pemain antarabangsa Mesir itu dikaitkan dengan kelab Sepanyol, Barcelona yang difahamkan terbuka untuk menawarkan gaji lebih besar.
Bagaimanapun, laporan tidak rasmi mula mengatakan Paris Saint-Germain (PSG) juga tertarik untuk mendapatkan khidmatnya bagi menggantikan penyerang kelahiran Brazil, Neymar. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram