LEGENDA Liverpool, Jamie Carragher mengakui bahawa kebangkitan yang ditunjukkan seteru utama mereka, Manchester United di bawah Erik Ten Hag cukup merisaukan.
The Red Devils sebelum ini bergelut sejak pemergian pengurus legenda, Sir Alex Ferguson pada 2012 dengan trofi terakhir yang dijulang kelab itu adalah pada 2017.
Bagaimanapun, musim ini, Manchester United kelihatan selesa apabila menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dan berjaya mara ke peringkat akhir Piala Carabao.
"Ia dilihat satu perkara yang cukup berbeza apabila mereka berada di bawah Ten Hag. Sebelum ini, saya sering berasakan adanya konflik antara pengurus dan pihak pengurusan," kata Carragher.
Carragher mengakui Manchester United sedang berada dalam landasan tepat. — Agensi
Ketika pengurus kelahiran Portugal, Jose Mourinho memegang tampuk kejurulatihan, terdapat beberapa laporan mengenai percanggahan pendapat antaranya dan pihak pengurusan.
Sebelum itu pula, bekas pengurus Barcelona, Louis Van Gaal turut dilihat gagal menyuntik perubahan meskipun pernah membantu mereka memenangi Piala FA pada 2015.
"Tetapi, mereka memiliki seorang pengendali yang tahu apa yang sedang mereka lakukan. Lagipun, kita dapat lihat bahawa Manchester United mempunyai satu semangat berbeza," kata Carragher.
Selain beraksi dengan baik di atas padang, mereka juga mempunyai berita baik apabila perkhabaran mengenai kehadiran pelabur baharu cukup menggembirakan penyokong.
Antara nama-nama yang disebut ialah individu terkaya United Kingdom, Sir Jim Ratcliffe dan beberapa individu tidak dikenali dari Timur Tengah.
Bagaimanapun, Carragher turut berpendapat Manchester United masih bukan pilihan untuk memenangi EPL musim ini apabila pendahulu liga, Arsenal dilihat sukar digugat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram