PENJAGA gol utama Newcastle United, Nick Pope nampaknya terlepas aksi final pasukannya menentang Manchester United bagi merebut trofi Piala Carabao yang akan dilangsungkan hujung bulan ini.
Pemain antarabangsa England itu dilayangkan kad merah dalam aksi yang berakhir kekalahan 2-0 Newcastle kepada Liverpool pada Sabtu kerana memegang bola di luar kotak penalti.
Susulan insiden yang menimpa Pope, pengendali Newacastle, Eddie Howe nampaknya tidak mempunyai pilihan apabila perlu memilih Loris Karius sebagai penjaga gawang pada pentas akhir itu.
Menjelang perlawanan tersebut, bekas jurulatih Karius semasa berada di Liverpool iaitu Jurgen Klopp memberitahu bahawa dia percaya pemain kebangsaan Jerman itu mampu beraksi dengan baik.
"Ya, saya dengar tentang itu. Saya fikir mereka benar-benar boleh bergantung kepadanya, tidak ada keraguan.
"Dia seorang penjaga gol yang hebat, itulah sebabnya Newcastle menandatanganinya. Tetapi sudah tentu malang untuk Nick Pope pada masa ini.
"Sudah tentu (peluang yang baik untuknya). Inilah yang dia perlu buktikan," ulas Klopp mengenai perkara berkenaan.
Dalam pada itu, pentas akhir itu merupakan medan terbaik buat Karius menebus kesalahannya dan membuktikan kembali kepada penyokong bahawa dia merupakan seorang penjaga gol yang hebat.
Kepercayaan penyokong terhadap Karius mula pudar selepas dia membuat kesilapan pada perlawanan Liverpool menentang Real Madrid pada pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah 2018.
Perlawanan tersebut menyaksikan pasukan gergasi La Liga itu menang mudah 3-1 ke atas The Reds. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram