PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola memetik nama nama Pengerusi Tottenham Spurs, Daniel Levy ketika mendakwa 19 kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) cuba berkomplot untuk mejatuhkan kelab itu berikutan isu pertuduhan 101 pelanggaran peraturan kewangan.
Guardiola tampil kali pertama sejak kelabnya didakwa melakukan salah laku kewangan dan pengendali itu mempertahankan Man City dengan mengatakan bahawa reputasi pasukan tersebut telah terjejas meskipun jika skuad The Citizens didapati tidak bersalah.
“Ia adalah Liga Perdana. Saya tidak tahu kenapa. Anda perlu bertanya kepada CEO, Daniel Levy (pengerusi Spurs), orang-orang seperti ini," katanya sambil bertegas mengenai siapa yang membuat tuduhan itu.
Bekas jurulatih Real Madrid itu membuat persamaan dengan pengalaman City di UEFA, yang melarang kelab itu daripada Liga Juara-Juara pada 2020 selepas mendapati mereka melanggar peraturan kewangan sebelum keputusan digantung selama dua tahun itu dibatalkan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Kelab itu didenda €10 juta (RM46.3 juta) kerana gagal bekerjasama selepas pada awalnya dikenakan €30j (RM139 juta), tetapi masih dibenarkan beraksi dalam kancah Eropah.
Dia turut mendakwa, beberapa kelab Liga Perdana berkomplot mencadangkan agar City keluar dari Liga Juara-Juara dan pasukan tersebut ialah Burnley, Wolves, Leicester, Newcastle, Spurs, Arsenal, Manchester United, Liverpool dan Chelsea.
Ketika ditanya sama ada dia akan memilih untuk keluar daripada City jika kelab tersebut didapati bersalah, Guardiola menegaskan tidak sama sekali.
“Anda perlu faham bahawa 19 pasukan EPL telah membuat tuduhan tanpa sedikit pun kami berpeluang untuk mempertahankan diri.
"Dan kata-kata kelab saya, pemilik saya, pengerusi saya, ketua pegawai eksekutif saya telah menjelaskan segala-galanya selama tiga atau empat tahun ini, jadi saya faham benar di mana saya berpihak.
"Saya tidak akan berganjak dari kerusi ini. Saya boleh memberi jaminan kepada anda, lebih daripada sebelumnya saya mahu kekal.
"Kadang-kadang saya mempunyai keraguan, tujuh tahun sudah merupakan masa yang lama di mana-mana negara. Sekarang saya tidak mahu bergerak," tambahnya.
Guardiola berkata, dia tidak membincangkan isu itu dengan skuadnya malah mereka masih berlatih seperti biasa untuk mencuba dan menewaskan Aston Villa pada Ahad ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram