Legenda Manchester United dedah pernah jadi penyokong Liverpool


  • Podium
  • Selasa, 14 Feb 2023

Solskjaer menghabiskan 11 tahun di Old Trafford sebagai pemain Man United. — Agensi

BEKAS pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer akhirnya mengaku bahawa dia membesar sebagai seorang penyokong Liverpool.

Solskjaer menghabiskan 11 tahun di Old Trafford sebagai pemain dengan memenangi enam kejuaraan Liga Perdana, dua Piala FA dan Liga Juara-Juara.

Pemain Norway itu kembali ke Red Devils pada 2018 untuk tempoh tiga tahun sebagai pengurus dan berhasil membawa pasukannya ke pentas akhir Liga Europa pada 2021.

Dia dipecat selepas permulaan yang menyedihkan pada musim lalu dan kini Solskjaer kembali menimbulkan kemarahan penyokong United dengan mendedahkan minatnya terhadap Liverpool.

The Reds adalah salah satu pesaing terbesar United dan walaupun dia dianggap sebagai legenda kelab di Manchester, Liverpool merupakan pasukan yang digemari oleh Solskjaer.

Pengendali berusia 49 tahun itu mendedahkan bahawa kekuatan yang ada pada pasukan Liverpool semasa dia membesar menjadi faktor Solskjaer meminati musuh United itu.

"Apabila anda mengikuti bola sepak, kami mengadakan Match of the Day pada setiap Sabtu di Norway dan sudah tentu Liverpool adalah pasukan yang lebih baik pada tahun 80-an.

"Mereka mempunyai Kenny Dalglish, Ian Rush dan semua itu, jadi ya saya mengikuti Liverpool. Saya adalah salah seorang penyokong yang mengikuti kerana mereka memenangi segala-galanya, Cukup sukar untuk dikatakan sebagai pemain Man United tetapi mereka adalah pasukan yang lebih baik pada tahun 80-an," katanya kepada podcast Kings of Europe.

Pendedahan Solskjaer itu mengimbau kembali kenyataannya pada tujuh tahun lalu apabila dia enggan memberi petunjuk tentang kebenaran laporan bahawa dia menyokong Liverpool.

“Saya tidak pernah mengesahkan yang itu! Saya peminat Manchester United sepanjang masa. Saya berdarah merah,” katanya kepada FourFourTwo ketika itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram