Walaupun menang besar, OKS mahu anak buah terus 'bernafsu'


  • Podium
  • Isnin, 27 Feb 2023

Kim Swee bagaimanapun tetap berbangga dengan tiga mata yang berjaya dibawa pulang Sabah FC. — Facebook/Sabah FC

KEMENANGAN 4-0 yang dicatatkan Sabah FC dalam aksi pembukaan Liga Super 2023 ke atas PDRM FC pastinya cukup menggembirakan penyokong pasukan Borneo itu.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas, Sabah itu menyaksikan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee beraksi cemerlang dan mengawal permainan sepanjang 90 minit.

Namun, menurutnya, keputusan positif itu bukanlah peluang buat pemain pasukan itu untuk berasa selesa apabila adanya 25 aksi yang masih perlu ditempuhi.

"Ini hanyalah perlawanan pertama, kita tidak boleh terlalu yakin. Bagaimanapun, kejayaan untuk mendapatkan tiga mata penuh adalah cukup penting.

"Perlawanan selepas ini pastinya lebih sukar dan kita perlu memberi sepenuh tumpuan supaya memastikan kami terus konsisten sepanjang musim," katanya.

333157286_512284861087238_2073981134710499874_n

Sabah FC memulakan kempen Liga Super musim ini dengan langkah kanan. Facebook/Sabah FC

Dalam pertembungan bersama skuad Sang Saka Biru, Sabah FC mendahului menerusi jaringan pemain sayap, Saddil Ramdani pada minit ke-13 sebelum Park Tae-su menggandakan kelebihan pada minit ke-38.

Saddil sekali lagi menjadi wira buat Sang Badak selepas menjaringkan gol kedua peribadinya sementara pemain tengah, Stuart Wilkin meraih gol peribadi pertamanya musim ini pada beberapa minit sebelum wisel penamat ditiup.

"Kami sudah melakukan persiapan tiga minggu lebih awal dan kami mempunyai skuad yang lebih baik. Dalam pasukan kami, tiada kesebelasan utama yang tetap dan semua boleh turun beraksi," kata Kim Swee.

Sabah FC bakal meneruskan langkah dalam saingan Liga Super apabila menerima kunjungan Kelantan United pada Rabu sementara PDRM FC pula akan bertemu Perak FC di Stadium MBPJ, Selangor pada Selasa. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram