KECOH diperkatakan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan berhubung perpindahan Taiki Kagayama ke beberapa kelab Liga M selepas bekas pemain sayap Sabah FC itu dilaporkan kembali ke Malaysia.
Taiki pada 23 Februari lalu memuat naik gambar pasport dan tiket penerbangan Malaysia Airlines sekali gus memberikan gambaran dia pulang ke Malaysia untuk beraksi dengan salah sebuah kelab Liga M.
Bintang kelahiran Jepun itu dikaitkan dengan kelab-kelab yang tidak melengkapkan kuota sembilan pemain import antaranya Negeri Sembilan FC (NSFC), Kedah Darul Aman (KDA FC), Perak FC dan Terengganu FC.
Malah, bekas tonggak jentera serangan Sabah FC itu turut dikaitkan akan kembali ke skuad Sang Badak apatah lagi Taiki dibawa masuk oleh pengendali pasukan tersebut, Datuk Ong Kim Swee pada musim lalu.
Taiki dikhabarkan kembali ke Liga M selepas memuat naik hantaran Instagram Story foto tiket penerbangan Malaysia Airlines pada Khamis. — Instagram
Selepas dua hari, Taiki akhirnya memberi perkembangan baharu berhubung destinasinya selepas memuat naik sekeping foto di Instagram Story pada Sabtu.
Menerusi foto itu, kelihatan Taiki berada di sebuah terminal lapangan terbang di Georgia berdasarkan bendera di dalam gambar berkenaan.
Taiki turut menyertakan kapsyen berbunyi 'landed' (selamat sampai) di foto tersebut.
Berkemungkinan Taiki hanya singgah di Malaysia sebelum meneruskan perjalanan ke negara Eropah itu.
Dengan hantaran terbaharu itu, Taiki akhirnya menjawab persoalan yang bermain di fikiran peminat bola sepak tanah air tentang penghijrahannya ke Malaysia.
Nampaknya pemain tersebut tidak menyarungkan mana-mana jersi kelab Liga M bagi musim ini dan kekal sebagai ejen bebas buat masa ini.
Untuk rekod, Taiki pernah beraksi di Eropah iaitu di Finland bersama tiga kelab antara 2019 hingga 2021 dan melakukan 67 penampilan dengan 15 gol manakala kelab terakhir diwakilinya ialah FC Inter Turku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram