HANGAT diperkatakan di media sosial salah seorang bakal pemain Sabah FC didakwa tidak dapat meneruskan impiannya untuk bersama dengan pasukan The Rhinos dalam Liga Malaysia (Liga M).
Penyokong Sang Badak dikatakan gembira dengan kemasukan seorang lagi pemain import yang berasal dari Korea Selatan dibawah pimpinan Datuk Ong Kim Swee selepas Ko Kwang-min diumumkan sebagai salah satu pemain rasmi pasukan tersebut.
Difahamkan sebelum ini, Sabah FC bakal mengikat pemain Liga 2 Korea Selatan iaitu Nam Yun-jae yang akan menjadi tonggak pertahanan pasukan The Rhinos musim ini.
Pemain berusia 26 tahun itu juga pernah beraksi bersama Jeonnam Dragon sejak berstatus sebagai pemain skuad remaja sehinggalah dia diserap ke pasukan utama pada 2021.
Sebelum ini, menerusi media sosial Yun-jae, pemain itu juga seperti memberi petunjuk bahawa dia tidak sabar untuk sertai Sabah FC sebagai pemain pasukan Sang Badak tersebut.
Tangkap layar Insta Story Yun-jae.
Bagaimanapun, impian untuk pemain tersebut beraksi di Liga M lebur apabila difahamkan dia telah balik ke negara asalnya, Korea Selatan.
Kepulangan Yun-jae ke Korea mula diperkatakan susulan hantaran Insta Story melalui akaun miliknya.
Perkara tersebut didakwa sahih kerana Sabah FC tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan pemain tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram