NAMA Ifwat Akmal bukanlah nama yang asing dalam kalangan peminat bola sepak negeri Kedah kerana dia merupakan penjaga gol utama buat kelab untuk beberapa tahun sebelum kedatangan Kalamullah Al-Hafiz dan Fikri Che Soh.
Selain itu, Ifwat juga pernah mendapat gelaran 'Man Of The Match' pada aksi final Piala FA 2019.
Namun begitu, ada penyokong fanatik yang berasakan fizikal penjaga gawang itu tidak berapa sesuai untuk menjadi penjaga gol utama kelab Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Hal ini kerana, faktor berat badan penjaga gawang berusia 27 tahun itu dilihat semakin meningkat selepas pulang dari perlawanan pramusim di Turkiye.
Malah ada penyokong yang berpendapat tempat anak jati Kedah itu patut digantikan dengan Kalamullah Al-Hafiz yang dilihat lebih cergas dan tangkas daripadanya.
Walaupun begitu, Ketua Jurulatih Hijau Kuning, Nafuzi Zain, berkemungkinan mempunyai alasan yang tersendiri untuk mengekalkan pemain berketinggian 178 sentimeter itu sebagai penjaga gawang utama bagi musim 2023.
Barisan penjaga gol Kedah Darul Aman FC. — Facebook
Berikut merupakan kemungkinan tiga sebab utama Ifwat dikekalkan sebagai penjaga gawang skuad Sang Kenari.
1. Mental kuat
Ifwat setia bersama pasukan Kedah sejak tahun 2016 lagi. Walaupun persembahannya dikritik namun pemain itu tetap cuba memberikan prestasi yang terbaik di atas padang.
Dengan pencapaian Kedah yang kurang memberangsangkan pada musim lepas, ramai penyokong lebih menyalahkan kerapuhan benteng pertahanan termasuk Ifwat sendiri sebagai orang terakhir yang perlu mempertahankan kubu Kedah.
Namun di sebalik tekanan dan kritikan yang dilontarkan terhadap barisan pertahanan, Ifwat dilihat tetap konsisten untuk membuat tepisan penting untuk memastikan gawang Kedah tidak bocor lebih kerap.
Selain itu, pemergian beberapa pemain senior meningkatkan status senioritinya bersama pasukan apabila dia sudah berkhidmat buat pasukan itu buat beberapa tahun.
2. Fast learner
Ifwat boleh dikatakan pemain yang mempunyai pengalaman luas dalam aksi getir seperti perlawanan akhir Piala FA 2017 dan 2019.
Dengan pengalamannya itu, Ifwat tidak berdepan masalah untuk dicabar oleh dua muka baharu itu, sekali gus masih berupaya mengekalkan posisinya sebagai pemain utama.
Hal ini kerana Ifwat nampak tidak mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri dengan taktikal Nafuzi sebagai jurulatih baharu yang menggantikan Aidil Sharin Sahak pada musim ini.
Ini terbukti apabila Nafuzi tetap memberikan kepercayaan kepada Ifwat untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama ketika menentang beberapa kelab di Turkiye.
3. Komunikasi lebih efektif dengan benteng pertahanan Sang Kenari
Sebagai individu terakhir yang menjaga gawang, Ifwat mengharapkan kepada barisan pemain pertahanan Kedah untuk mengawal benteng terakhir pasukan tersebut.
Faktor senioritinya dan pengalaman dalam pasukan tersebut juga boleh dikatakan akan menjadi faktor utama untuk menjadikan komunikasi antara pemain lebih efektif.
Pada masa sama, tidak dapat dinafikan pengalamannya cukup membantu terutamanya dalam membaca pergerakan lawan.
Berdasarkan ketiga-tiga faktor itu, tidak hairanlah Ifwat masih mendapat kepercayaan barisan kejurulatihan sebagai penjaga gawang utama skuad Sang Kenari buat masa ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram