Hiburan baharu orang ramai pergi kerja, rakyat terharu dengar suara KJ di radio


  • Massa
  • Rabu, 15 Feb 2023

KJ memulakan tugas sebagai penyampai radio bersama Hot FM pada Rabu.

TERNYATA kehadiran bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) dalam stesen radio, Hot FM membuatkan ramai teruja untuk mendengar radio pada Rabu.

Suasana berbeza dirasai di konti radio Hot FM apabila buat pertama kalinya, suara KJ berkumandang sebagai penyampai bersama Johan dan Muhammad Azmir Selamat (AG) dalam segmen Bekpes Hot dari pukul 6 hingga 10 pagi.

Keputusan KJ menyertai radio Media Prima Audio (MPA) mencetuskan kegembiraan buat pendengar Hot FM yang mahu melihat bekas Ahli Parlimen itu bertugas sebagai penyampai radio.

Walaupun baru pertama kali menjadi penyampai radio, KJ dilihat tidak kekok serta dilihat sangat professional dalam menyampaikan info-info semasa serta bergandingan bersama Johan dan AG.

Sebelum ini di Facebook, Khairy Jamaluddin meminta semua peminat berkongsi topik yang hangat untuk dibincangkan semasa beliau menjadi penyampai bersama rakan-rakan di konti.

Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata pendengar radio teruja dan memberikan reaksi positif dengan gandingan KJ, Johan dan AG di Hot FM.

"KJ sebenarnya lebih bijak dari ahli politik yang lain, dia gunakan medium radio ini sebagai salah satu cara dia untuk 'berkempen dalam diam' dan lebih mendekati rakyat," ujar Ijafarisha Shahrudain.

"Tiba-tiba hari-hari dengar radio pula," jelas Shira Jalil.

"Kenapa aku rasa terharu pulak, semoga Allah permudahkan urusan KJ dan semua DJ," luah Puan Kay.

"Secara tak langsung rakyat tak akan lupakan dia, bila dengan radio, dia akan ada aura tersendiri dan akan buat dia lebih dekat dengan rakyat," kata Siti Zaleha Seyed Chek.

KJ memulakan tugasnya secara rasmi bermula Rabu selepas mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM menerusi temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal pada 9 Februari lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Khairy Jamaluddin, Bekpes Hot, DJ Hot FM, Johan, AG, KJ