KHAIRY Jamaluddin akan mengumumkan statusnya bersama skuad Johor Darul Takzim (JDT) dalam masa terdekat.
Pengumuman tersebut dibuat bekas Menteri Kesihatan itu ketika ke udara buat kali pertama semasa mengendalikan segmen Bekpes Hot di stesen radio Hot FM pada Rabu.
"Terima kasih TMJ kerana menjemput saya menjadi sebahagian JDT. Pasukan ini memang pasukan terbaik di Malaysia. Insya-ALLAH, dalam masa terdekat kita akan umum penglibatan saya dalam JDT.
"More or less, dah boleh confirm. Perkara ini serius, bukan main-main. Dulu waktu umum saya jadi DJ Hot FM pun orang ingat main-main, tak serius," katanya.
Dalam nada berjenaka, KJ memberitahu bahawa tawaran ke kelab Harimau Selatan membuatkan beliau dalam dilema kerana sokongannya terhadap pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC).
"Offer tu agak konflik sikit sebab saya sokong (skuad) Kedah dari dulu. Saya orang Kedah.
"Saya boleh je (terima tawaran CEO JDT), kita multi-tasking dengan tugas sebagai DJ," katanya dalam segmen tersebut pada pagi Rabu.
Status tawaran Khairy Jamaluddin atau mesra dengan panggilan KJ sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT menjadi tanda tanya selepas beliau sah diperkenalkan sebagai salah seorang penyampai radio Hot FM.
Dalam sepucuk surat rasmi dari Hot FM bertarikh 28 Januari 2023, KJ ditawarkan jawatan sebagai pengacara radio bagi segmen Bekpes Hot bersama Fara Fauzana, Johan dan Muhammad Azmir Selamat atau AG.
Waktu bertugas beliau bersama stesen radio popular itu adalah dari Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi.
Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) pernah menawarkan jawatan sebagai CEO dan penasihat kelab elit selatan tanah air itu kepada KJ. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram