Dividen TH dijangka sederhana, rakyat mula persoal status ekonomi negara


  • Massa
  • Ahad, 12 Feb 2023

Pulangan dividen 2022 Tabung Haji dijangka sederhana.

JANGKAAN agihan keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2022 yang akan diumumkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bergantung kepada strategi pelaburan yang dikelolakan oleh pengurus dana TH sepanjang 2022.

Jika dilihat strategi TH sebelum ini yang agak konservatif, pulangan dividen 2022 dijangka sederhana akibat ketidakstabilan pasaran saham global.

Sebelum ini, Ahli Ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof Barjoyai Bardai berkata, penarikan pelabur asing di negara ini jelas memberi kesan terhadap pulangan dividen 2022.

"Memandangkan situasi pasaran kewangan seperti saham yang bergolak disebabkan kenaikan agresif kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) sepanjang tahun lepas, ramai kalangan pelabur asing sudah 'lari' dan balik semula ke pasaran AS.

"Disebabkan pasaran saham di AS bergolak dan turun, banyak institusi pelaburan sudah mengubah strategi mereka untuk meminimumkan risiko daripada memaksimumkan keuntungan.

"Ini termasuklah TH yang dilihat bersikap konservatif bagi tahun 2022, kerana merasakan adalah lebih baik selamatkan modal dan mendapat keuntungan kecil, daripada cuba memaksimumkan keuntungan tetapi mendedahkan risiko modal yang mungkin hilang," katanya kepada Bernama.

Berita mengenai pulangan dividen 2022 ternyata mendapat perhatian rakyat apabila rata-ratanya mula menimbulkan persoalan adakah ekonomi negara kini di paras bahaya.

Tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai mula bimbang dengan keadaan ekonomi semasa negara dan ada mempertikaikan kredibiliti Perdana Menteri.

"Persoalannya kenapa sederhana? Bukan ke kerajaan beri kenyataan kata ekonomi negera sedang berkembang," soal Azhad Carin.

"ASB rendah, TH rendah apa yang kerajaan sedang buat sekarang ini," luah Mohd Syahrulnizam Ibrahim.

"Skrip yang sama setiap kali nak bagi dividen untuk rakyat, jangan sampai ada yang tarik balik pelaburan simpan bawah bantal," kata Faisal Rodzlan.

"Sebenarnya ekonomi okay ke tak? Sekejap baca ekonomi terus mengukuh, sekarang kata ekonomi tak stabil pula, keliru betul," ujar Zaid Zolkipli. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram