Nurul Izzah bukan lagi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Anwar Ibrahim


  • Primer
  • Ahad, 12 Feb 2023

Nurul Izzah kini menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Hassan Marican.

NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengesahkan beliau tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, katanya, beliau kini menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Hassan Marican.

"Mohd Hassan telah mengundang saya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.

"Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini. Saya amat menghargai setiap peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik untuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Justeru, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, menzahirkan sepenuh penghargaan atas setiap sokongan dan dokongan yang diberikan, baik daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti kerajaan.

Nurul Izzah juga berharap agar khidmat beliau dalam peranan baharu itu dapat membantu Mohd Hassan serta anggota jawatankuasa lain, sekali gus mampu memberi manfaat kepada negara tercinta.

"Rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengharapkan masa depan yang cemerlang dan penyatuan yang utuh dipimpin oleh Perdana Menteri bersama Kerajaan Perpaduan.

"Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jawatankuasa. Sama-samalah kita menyumbang dalam sebarang kapasiti demi negara kita,” katanya.

Awal bulan lalu, anak sulung Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu temu bual bersama sebuah media tempatan memaklumkan beliau dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, berkuat kuasa 3 Januari lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram