AHLI Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming mahu tindakan segera diambil berhubung urusan kebersihan dan kutipan sampah di sekitar Teluk Intan, Perak pada Sabtu.
Teguran itu dimuat naik oleh beliau dalam laman rasmi Twitter miliknya apabila berasa sangat kecewa dengan prestasi kebersihan oleh Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dalam menangani isu pengurusan sampah.
"Selaku Menteri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), saya berasa amat kecewa dan terkejut dengan prestasi lemah YDP Majlis Perbandaran Teluk Intan.
"Jelas mereka gagal menangani masalah pengurusan sampah sekian lama sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.
"Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) untuk ambil tindakan tegas dengan segera," ciapnya di Twitter.
Tangkap layar ciapan Nga Kor Ming.
Ternyata teguran yang dibuat oleh Nga Kor Ming itu mendapat respon segera oleh MPTI apabila bertindak memuat naik gambar beberapa kawasan sedang dibersihkan.
MPTI turut memuat naik satu kenyataan di Facebook dengan menyatakan pihak mereka sedang menangani masalah pengurusan sampah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai atas keperihatinan.
"Majlis Perbandaran Teluk Intan sedang mempergiatkan usaha menangani masalah pengurusan sisa pepejal, terima kasih atas segala pandangan warga net dalam isu ini.
"Dengan keprihatinan orang ramai dan usaha-usaha yang sedang dibuat oleh pihak MPTI adalah diharapkan perkhidmatan pembersihan dapat ditambah baik," katanya pada Sabtu.
Kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan MPTI selepas ditegur Nga Kor Ming. — Facebook/MPTI
Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai mengucapkan syabas kepada MPTI atas tindakan segera dan mahu mereka lebih tegas dalam isu pembuangan sampah.
"Terbaik MPTI tapi tindakan susulan dengan penguatkuasaan dan menyaman mereka yang membuang sampah secara tidak betul itu amat perlu untuk menyedarkan masyarakat yang berperangai macam orang tak sekolah," kata Mohd Yusoff Mat.
"Sepatutnya sampah macam dekat menara condong ini tanggungjawab bersama, ramai yang masih tak ada kesedaran, pakai buang dekat menara condong itu," luah Rohaida Salleh.
"Pelik tak habis-habis nak salahkan pihak majlis, sedangkan yang buang sampah tak nak disalahkan..tempat dah di beri besar-besar lagi tapi masih buang merata-rata juga," jelas Aman Chuky.
"Bagus dan terbaik MPTI, tapi jangan bila lepas sultan datang ke Teluk Intan dan Bagan Datuk, terus MPTI biarkan sahaja tanpa perlaksanaan," ujar Syahir Pakhrurrazi.
Baru-baru ini Nga Kor Ming yang memegang jawatan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan mahu tindakan segera diambil berhubung urusan kebersihan dan kutipan sampah di destinasi pelancongan di ibu negara yang didapati kurang memuaskan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram