KEDAH Darul Aman (KDA) FC membuktikan rombakan pasukan yang dilakukan membuahkan hasil apabila menang 4-1 ke atas Perak FC dalam aksi pertama Liga Super Malaysia di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.
Skuad Sang Kenari lebih mudah memperoleh kemenangan apabila dua pemain The Bos Taurus (TBG) iaitu Ahmad Haziq Ahmad Puad dan Sunday Afolabi dilayangkan kad merah, sekali gus memaksa mereka bermain dengan sembilan orang pemain sahaja.
Sebelum pasukan di bawah kendalian Nafuzi Zain itu berpesta gol, Perak terlebih dahulu mencetak jaringan pertama menerusi pemain tengah, Mohamad Ikhwan Hafizo pada minit ke-3.
Jaringan pertama Kedah dihasilkan menerusi jaringan dari pemain naturalisasi negari, Lee Tuck pada minit ke-17 sebelum tiga gol lagi dicetak pada babak kedua oleh Willian Lira, Muhammad Ariff Farhan dan Jonathan Boareto.
Persembahan bertenaga KDA FC itu juga diam-diam sudah mendapat tonik khas daripada bekas pemain Sang Kenari musim lepas iaitu Mahmoud Al-Mardi.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh pemain antarabangsa Jordan itu apabila berkongsi tangkap layar video panggilannya besama tonggak sayap Sang Kenari, Fayadh Zulkifli di laman Insta Story miliknya.
Tangkap layar Insta Story Al-Mardi.
Pemain berusia 29 tahun itu memberi kata-kata semangat kepada Fayadh sebelum sepak mula perlawanan berkenaan dan ia membuahkan hasil apabila anak Jati Baling, Kedah itu cemerlang pada aksi sulung Kedah bagi musim 2023.
“Selamat maju jaya saudaraku,” tulis Al-Mardi sebagai kata-kata semangat buat rakannya itu.
Meskipun Al-Mardi hanya bermain pada waktu yang singkat pada 2022 namun pemain itu dilabel antara pembelian berbaloi Sang Kenari pada jendela perpindahan kedua musim lepas.
Al-Mardi merekodkan 19 penampilan dalam semua kejohanan bersama skuad Hijau Kuning, selain menjaringkan tujuh gol dan kini tonggak tengah itu beraksi beraksi di Liga Kuwait bersama Qadsia SC
Kemenangan di tempat lawan itu menyaksikan KDA FC memungut tiga mata pertama mereka dan boleh dianggap sebagai tonik tambahan untuk menempuh saingan yang lebih mencabar selepas ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram