UMUM mengetahui bola sepak merupakan sukan yang amat popular di tanah air mahupun luar negara dan ada dalam kalangan kanak-kanak sudah menanam cita-cita untuk bergelar seorang pemain bola sepak profesional.
Namun tidak semua mempunyai peluang untuk pergi ke akademi bola sepak yang terkenal kerana ia memerlukan wang ringgit bagi dijadikan sebagai modal awal mengejar cita-cita tersebut.
Disebabkan kekangan wang ringgit, ada segelintir kanak-kanak menghabiskan masa bermain bola sambil melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.
Menurut Jurulatih Dream Village Football Academy (DVFA), Albert Low berkata, program Afterschool tersebut merupakan hasil ilham dan inisiatif mereka sendiri.
Sehubungan dengan itu, ketika program tersebut dimulakan pada tahun 2018, ahli majlis telah membantu untuk mengenal pasti komuniti yang memerlukan program seperti itu.
Oleh itu, terdapat dua Pangsapuri Angkat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dikenal pasti iaitu Pangsapuri Angsana dan Court 2.
Pemain celik terlihat belajar mengawal bola sambil disaksikan oleh jurulatih DVFA. — Instagram/DVFA
Albert berkata, program komuniti itu tidak terhad kepada kanak-kanak sahaja, malah turut mengajak orang awam yang ingin mengikutinya.
"Disebabkan kanak-kanak di kawasan itu berkeliaran dan melakukan perkara tidak berfaedah, saya membuat satu program yang mana semua kanak-kanak akan terlibat untuk bermain bola.
"Pendaftaran bagi program itu adalah percuma dan terbuka kepada kanak-kanak yang berada di kawasan tersebut.
"Kami tidak mengehadkan umur, program ini adalah untuk semua orang, sports is for everyone," katanya kepada Majoriti.
Lagi menarik lagi apabila jurulatih tersebut berkata, Dream Village tidak dikhaskan kepada yang pandai bermain sahaja malah dibuka kepada semua yang ingin mencuba dan belajar benda baharu.
Selain itu, pengendali yang berbangsa Cina itu berkata, program tersebut dikhususkan untuk orang masyarakat B-40 serta tidak mengenal kaum dan bangsa.
"Tidak kira pandi main atau tidak ada asas. Semua boleh datang dan akan diajar. Ini salah satu peluang untuk ajar dan bimbing mereka untuk mengetahui hala tuju dalam hidup," tambahnya.
Sesi latihan yang dijalankan bersama jurulatih DVFA. — Instagram/DVFA
Kejayaan yang diceritakan jurulatih itu bukan berdasarkan kejayaan dalam bermain bola sahaja tetapi lebih kepada mendidik mereka agar menjadi orang yang berguna.
Dalam pada itu, lelaki yang dahulunya pernah bekerja di dunia perbankan selama 13 tahun itu berharap agar program komuniti itu berjaya membantu kanak-kanak dapat berasakan bermain bola sepak dengan kelengkapan lengkap.
Setakat ini, sekurang-kurangnya terdapat 30 kanak-kanak yang mengikuti program Albert itu.
"Saya mahu membuat sesuatu yang boleh diberikan kepada komuniti kerana sebelum ini saya sendiri tidak pernah merasakan kelengkapan latihan bola sepak yang ada pada hari ini, sekurang-kurangnya saya boleh membantu adik-adik ini meneruskan minat mereka dalam sukan bola sepak.
"Sejak dari kecil saya memang minat dan lebih memilih bola sepak berbanding sukan lain. Program ini sangat berharga untuk diri saya kerana ini dapat membantu adik-adik yang kurang berkemampuan.
Untuk makluman, setiap Selasa dan Khamis, Albert dan beberapa rakannya akan menjalankan sesi latihan bola sepak atau futsal secara percuma untuk komuniti tersebut.
Albert juga berharap kelab lain atau persatuan bola sepak yang ada di Malaysia boleh mewujudkan program Afterschool yang sama untuk komuniti lain.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram