KETUA jurulatih Kelantan FC, Choi Moon Sik menjelaskan terdapat beberapa kelemahan dihadapi pasukannya selepas tewas 1-2 kepada Kuching City FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.
Jurulatih dari Korea Selatan itu berkata, faktor kecergasan, kelemahan mengawal bola dan kurang persefahaman taktikal pasukan antara penyumbang kekalahan pada aksi pertama liga itu.
"Pemain melepaskan dua gol mudah apabila hilang kawalan bola dan pasukan lawan bijak mengambil peluang itu dengan melakukan serangan balas seterusnya memperoleh gol.
"Begitu juga saya lihat bahagian serangan lambat bergerak menerima bola apabila rakan sepasukan mencipta gerakan untuk menjaringkan gol,” katanya kepada media selepas perlawanan, pada Sabtu.
Kenyataan Moon Sik diterjemah jurubahasa pasukan, Min Park.
Kelantan FC mendahului perlawanan menerusi jaringan pemain import Miguel Cifuentes pada minit ke-51, namun dua gol Kuching City FC oleh Abdallah Sudi pada minit ke-58 dan Abu Kamara minit ke-71 memberi tiga mata penuh buat skuad yang diberi jolokan The Cats itu.
Moon Sik jelas kecewa dengan kekalahan yang dialami skuad The Red Warriors (TRW) biarpun menguasai permainan.
"Perlawanan ini penting kepada kami untuk ditonton oleh penyokong Kelantan FC bagi menilai kemampuan pasukan, namun kami tewas.
"Kelemahan ini perlu segera dibaiki bagi menghadapi perlawanan seterusnya, kami tidak boleh melakukan perkara sama kerana ia memberikan satu lagi keputusan kekalahan kepada pasukan,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram