'Panic buying sebab murah ke?', abang ex import Kedah kurang disenangi di bumi Darul Iman


  • Podium
  • Khamis, 23 Feb 2023

Omid (kanan) menandatangani kontrak setahun bagi kuota Asean menggantikan Woodland yang digugurkan Sang Penyu musim ini. — Instagram/Omid

PELUANG menggunakan hari terakhir jendela perpindahan pertama Liga Malaysia (Liga M) masih digunakan sebaik-baiknya oleh beberapa pasukan yang bertanding bagi menandatangani pemanin import baharu.

Terengganu FC (TFC) juga antara pasukan yang tidak melepaskan peluang keemasan itu apabila mengumumkan kemasukan tonggak import baharu mereka bagi membantu memperkukuhkan pasukan bagi saingan liga musim 2023.

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi TFC, skuad Penyu secara rasminya mengumumkan pemain import keenam pasukan tersebut iaitu tonggak kebangsaan Iran, Omid Nazari yang akan menambah kekuatan pada jentera tengah pasukan itu.

Omid bukanlah nama yang asing dalam kancah Liga M apabila sebelum ini dia pernah beraksi selama semusim bersama Melaka United pada 2017 sebelum memutuskan untuk beraksi di Filipina dengan menyertai Ceres-Negros FC.

omid

Omid disahkan sebagai pemain import baharu TFC. — Facebook/TFC

Pada musim lepas pula, pemain berusia 31 tahun itu kembali lagi ke Liga M dengan menyertai Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Omid tampil dalam 25 penampilan bersama skuad Jang, selain menjaringkan dua jaringan buat pasukan itu.

Penghijrahan pemain berdarah Iran-Filipina itu ke skuad Penyu bagaimanapun mendapat respons yang kurang memberangsangkan daripada penyokong kerana mereka berpendapat pihak pengurusan membuat keputusan terburu-buru untuk membeli Omid di saat-saat genting.

"Pembelian panik dan bajet murah ke ini? Hehehehe," kata penyokong, Mohamad Aswat Shamsuddin.

"Ingat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sahaja panic buying," kata seorang lagi penyokong TFC, Naem Zainudin.

Namun begitu, dengan pengalaman Omid yang pernah beraksi di Piala AFC bersama pasukan divisyen satu Filipina, United City FC mampu untuk membantu skuad Penyu mengharungi kejohanan berkenaan.

Untuk rekod, Omid juga mempunyai adik yang pernah beraksi di Liga M iaitu Amin Nazari, merupakan bekas pemain tengah Kedah pada musim 2021.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh berkata, Omid menandatangani kontrak setahun bagi kuota Asean menggantikan Luke Woodland yang digugurkan.

Ab. Rasid juga mengesahkan TFC menyambung kontrak tiga tonggak pertahanan iaitu kapten, Shahrul Nizam Roshasni, Alif Zakaria dan Azam Azmi Murad sehingga 2025.

Menurut beliau, ketiga-ketiga pemain berkenaan menyatakan komitmen untuk terus menyarung jersi Sang Penyu walaupun turut ditawarkan tempat daripada beberapa kelab lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram