UNTUK bergelar sebagai seorang pemain bola sepak profesional, banyak perkara perlu dilakukan sama ada pengorbanan dari segi masa dan wang ringgit.
Namun begitu, tidak semua orang dilahirkan di dunia ini hidup dalam keadaan senang bagi mencapai impian tersebut susulan ia memerlukan wang yang akan digunakan untuk membeli peralatan bermain bola sepak.
Seperti kisah yang dikongsikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli mengenai perjalanan seorang pelajar lelaki di Hang Tuah Jaya, Melaka yang mendapat tawaran ke Akademi Johor Darul Takzim (JDT).
Sebelum diterima masuk ke akademi yang terletak di Iskandar Puteri, pelajar yang bernama Nurazrieman itu merupakan produk daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Pelajar berusia 12 tahun itu difahamkan belum membuat sebarang persiapan untuk ke Akademi JDT pada Jumaat ini disebabkan faktor kewangan keluarganya.
Nurazrieman akan bertolak ke Akademi JDT pada Jumaat ini. — Facebook/AdamAdli
Menurut perkongsian dari hantaran Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya tersebut, ibu dan ayah pelajar yang mesra dengan sapaan Jieman itu hanya peniaga yang berjualan secara kecil-kecilan.
"Jieman tidak datang dari keluarga senang. Ibu bapanya berniaga kecil dan bekerja sendiri. Ada kekangan kewangan yang sedikit menjejaskan persediaan Jieman untuk ke Iskandar Puteri.
"Kami mahu impian Jieman tercapai, maka kami setuju untuk bantu. Yang penting, Jieman dapat mulakan perjalanan baharu dengan hati yang lapang dan sedia beri yang terbaik untuk banggakan ibu bapanya.
"Sepatutnya hari ini (Rabu) saya bercadang untuk menemani Jieman sendiri membeli barang-barang keperluan termasuk pakaian dan peralatan sukan yang diperlukan.
"Atas kekangan masa dan sesi Parlimen yang panjang minggu ini, Jieman hari ini dibawa mencari keperluan beliau oleh pegawai-pegawai Pusat Khidmat bersama ibunya sendiri," kongsi Adam Adli yang menyedari masalah Nurazrieman menerusi surat permohanan bantuan di Pusat Khidmat Hang Tuah Jaya.
Dalam hantaran tersebut juga, Adam Adli berharap agar beliau berpeluang untuk berjumpa dengan Nurazrieman secara bersemuka dan mendoakannya berjaya di Akademi JDT.
Selain kisah Jieman ini, Majoriti juga pernah melaporkan kisah ubi muda dari Tenom, Sabah yang pada awalnya hanya menggunakan but getah berharga RM9 ketika menghadiri program pencarian bakat Akademi JDT.
Meskipun hanya memakai kasut getah, pelajar bernama Hafiz itu berjaya tampil cemerlang semasa pencarian bakat di Tenom dan tersenarai untuk diterbangkan pemilihan terakhir di Johor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram