'Terima kasih TMJ', Syihan akui teruja julang trofi pertama bersama JDT


  • Podium
  • Sabtu, 25 Feb 2023

Syihan membawa pulang trofi pertama dalam kariernya selepas JDT menundukkan Terengganu FC di laman sendiri. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PENAMPILAN sulung bersama Johor Darul Takzim (JDT) memberikan tuah tersendiri buat penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi yang berjaya meraih trofi sulung dalam kariernya.

Pemain yang baru sahaja menginjak usia 27 tahun pada 22 Februari lalu itu mengharapkan kejayaan menjulang Piala Sumbangsih akan menjadi pemangkin untuk lebih banyak kecemerlangan mampu diukir musim ini.

Bagaimanapun, dia tidak mahu mendabik dada sambil menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas Terengganu FC merupakan kerja keras semua pemain selain sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Alhamdulilah, ini satu permulaan yang baik dan terima kasih kepada TMJ kerana mengaturkan persiapan yang begitu baik untuk hadapi musim ini.

“Bukan setakat saya, tetapi semua pemain semangat mencurahkan segala-galanya bagi memenangi perlawanan ini, kejayaan menjulang trofi ini merupakan kejayaan bersama," katanya kepada MFL.

Bekas pemain Negeri Sembilan FC itu juga berikrar untuk membantu skuad Harimau Selatan baik di peringkat domestik mahupun dalam saingan Liga Juara-juara AFC (ACL).

“Saya mahu membawa pasukan ini lebih jauh lagi dalam apa jua kejohanan yang kami sertai dan harap saya mampu berikan yang terbaik jika berada dalam kesebelasan utama,” katanya.

Biarpun tidak banyak diuji, Syihan mempamerkan kredibilitinya tersendiri dalam mengemudi barisan pertahanan selain menunjukkan keyakinan tinggi semasa berhadapan barisan penyerang lawan.

333223020_1671386616652505_1684023716771488052_n

JDT menundukkan Terengganu FC dengan skor 2-0 untuk menjulang trofi Piala Sumbangsih 2023. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Dalam perlawanan itu, JDT menepati jangkaan apabila memenangi perlawanan iatas Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor yang mana sekali gus mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali keenam berturut-turut.

Bintang import terbaharu JDT, Juan Muniz meledak jaringan pembukaan pada minit ke-5 sebelum Bergson da Silva menggandakan kelebihan pada minit 57.

Sebagai rekod, pasukan Selatan tanah air itu berjaya menyamai rekod yang dipegang Selangor iaitu memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah sebanyak lapan kali dalam sejarah kejohanan.

Seorang lagi pemain, Feroz Baharudin, yang baharu berusia 23 tahun, menjadi antara watak penting di barisan pertahanan apabila gandingannya bersama Jordi Amat dan Matthew Davies berjaya membentuk satu kombinasi yang ampuh.

Feroz akui gembira kerana diberi kepercayaan berada dalam kesebelasan utama, namun dalam masa sama, dia masih dalam proses pembelajaran daripada pemain berpengalaman bagi memantapkan lagi corak permainan.

“Ini peluang terbaik untuk saya menunjukkan kemampuan apabila diturunkan dan tidak dilupakan, terima kasih kepada senior-senior yang sentiasa beri sokongan dan tunjuk ajar selama ini.

“Saya juga hargai peluang diberikan jurulatih dan alhamdulilah saya dapat berikan sehabis baik bagi membantu pasukan.

“Kami akan sentiasa fokus dari satu ke satu perlawanan bagi mengejar matlamat yang disasarkan dan insya allah kami semua akan cuba konsisten dalam tiga lagi kejohanan Liga Malaysia (Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia),” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram