[VIDEO] 'Kami bukan nak jual baju', TMJ 'tembak' Kedah, kelab lain guna 2 mesej tersirat


  • Podium
  • Rabu, 22 Feb 2023

TMJ sememangnya tidak pernah lekang daripada memberi kritikan pedas kepada kelab-kelab tempatan. — Astro Awani

DOMINASI yang dipamerkan Johor Darul Takzim (JDT) dalam pentas bola sepak tempatan musim lalu membuktikan mereka merupakan pasukan terbaik secara domestik.

Selain tidak mengalami sebarang kekalahan, skuad Harimau Selatan juga mencatatkan sejarah tersendiri apabila merangkul kesemua empat trofi yang dipertandingkan.

Kejayaan itu pastinya dicemburui beberapa kelab Liga Malaysia lain yang pastinya mengharapkan penguasaan pasukan Selatan tanah air tersebut dapat dicabar pada 2023.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh pramusim bermula Disember lalu, JDT dilihat sudah jauh meninggalkan pasukan tempatan lain dengan aktiviti perpindahan serta perlawanan pramusim.

Skuad kendalian Esteban Solari itu bakal menerima suntikan berbeza dari segi serangan selepas mengesahkan kehadiran bekas perancang Penang FC, Endrick dos Santos.

Kepulangan bekas penyerang, Diogo turut memeriahkan lagi pasukan berkenaan di samping kehadiran beberapa rekrut baharu, termasuk Syihan Hazmi, Oscar Arribas serta Juan Muniz.

Dalam masa sama, pihak pengurusan turut mengambil langkah berbeza apabila mereka memilih untuk mengadakan aksi persahabatan bersama beberapa pasukan ternama dunia, seperti Zenit St Petersburg dan Lokomotiv Moscow.

Walaupun tumpas dalam perlawanan tersebut, penyokong Harimau Selatan masih tidak henti-henti memberi galakan dan sorakan buat pasukan itu.

Temubual TMJ mendedahkan perancangan JDT untuk musim depan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Tetapi, apa yang lebih membakar semangat majoriti daripada mereka adalah mesej daripada pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.

Perkara itu disampaikan menerusi sebuah video dimuat naik di laman media sosial rasmi JDT pada Selasa yang mana menerima respons sangat menggalakkan daripada orang ramai.

Di samping mengulas mengenai aksi pramusim JDT, TMJ juga sempat memberi pandangannya mengenai sasaran dan harapan yang ditetapkan pihak pengurusan, terutama dirinya sendiri.

Namun, tinjauan di ruangan komen mendapati dua perkara menarik berjaya ditangkap pengguna media sosial yang mana berbunyi seakan-akan sinis terhadap pasukan Liga Super yang lain.

1. Aksi persahabatan Kedah Darul Aman (KDA) FC

Soalan pertama yang ditujukan kepada pemilik JDT itu ialah punca di sebalik pemilihan pasukan untuk mengadakan sesi latihan berpusat dan perlawanan persahabatan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurutnya, lokasi tersebut dilihat sebagai strategik dari segi jarak yang perlu ditempuhi anak-anak buah Solari untuk meluangkan masa sepanjang tempoh pramusim.

Selain itu, fasiliti yang lengkap di samping beberapa tujuan lain juga mendesak pihak pengurusan dan kejurulatihan JDT untuk berlatih di Dubai.

Bagaimanapun, TMJ juga sempat mengeluarkan komen yang tidak ditujukan kepada mana-mana individu atau kelab, tetapi kedengaran sedikit sinis.

"Jikalau saya pergi ke Eropah, tetapi perbelanjaan terlampau mahal atau lawan pasukan-pasukan yang berada di divisyen kedua atau kelab-kelab kecil dari Asia, baik tak payah," katanya.

1914230

KDA FC merupakan satu-satunya pasukan tempatan yang mengadakan aksi persahabatan di Eropah. Facebook/KDA FC

Perkara berkenaan seolah-olah mengulas keputusan KDA FC yang memilih untuk mengadakan aksi pemanas badan di Turkiye berdepan kelab-kelab luar negara, termasuk pasukan berpangkalan di Ukraine, Metalist Kharkiv.

Ia merupakan usaha pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar yang bercita-cita untuk meningkatkan reputasi skuad Sang Kenari meskipun gagal untuk mencatatkan sebarang kemenangan dalam perlawanan-perlawanan itu.

Ulasan TMJ terbabit juga menarik perhatian beberapa penyokong yang turut bersetuju dengan komen mengenai destinasi aksi pramusim itu.

"Tidak guna untuk mengadakan perlawanan persahabatan di Eropah seperti satu kelab tu. Lawan pasukan yang ranking terlalu jauh dan tidak juga dikenali," kata Mohd Naufi.

2. Pelancaran jersi baharu pasukan-pasukan Liga Super

Beberapa hari kebelakangan ini menyaksikan kelab Liga Malaysia tidak henti-henti mengadakan majlis pelancaran jersi baharu untuk musim akan datang.

Selangor FC, Sri Pahang FC dan Kelantan FC menjadi antara pasukan yang meriah bagi menarik lebih ramai penyokong, sekali gus membolehkan mereka meraih pendapatan tambahan.

Bagi JDT pula, mereka memilih untuk melancarkan jersi untuk musim 2023 menerusi sebuah video yang menampilkan pemain segak mengenakan pakaian baharu itu.

Segelintir penyokong mula mempersoalkan reka bentuk dan warna sehingga ada yang mengatakan ia tidak begitu menarik jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan lain.

332410027_593447192640739_6176444442747061765_n

Reka bentuk jersi baharu JDT menerima tumpuan ramai pihak. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Menjawab perkara itu, TMJ sekali lagi tampil dengan komen yang menyebabkan ramai pihak tidak senang duduk apabila pandangan itu sepertinya membuktikan perihal jersi baharu bukanlah keutamaan pasukan.

"Itu tidak penting bagi saya kerana kami adalah kelab bola sepak. Kami di sini bukan untuk menjual baju, kami di sini adalah untuk kejayaan setiap aspek.

"Ia bermakna berjaya untuk mendapatkan infrastruktur sukan tercanggih dan berteknologi serta kejayaan dalam padang, itu bagi saya penilaian sama ada kelab itu berjaya atau tidak," katanya.

JDT bakal mengenakan baju berwarna biru dan bercorak seakan-akan celorang merah bagi jersi di tempat sendiri manakala berwarna serba putih sekiranya beraksi di gelanggang lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram