JDT dimalukan Zenit, TMJ pertahan turunkan Farizal berbanding Syihan


  • Podium
  • Selasa, 07 Feb 2023

Kekalahan di tangan Zenit itu merupakan yang kedua buat JDT daripada lima aksi pramusim di Dubai. —Facebook/JDT

JOHOR Darul Takzim (JDT) menutup tirai siri jelajah aksi pramusim 2023 di Dubai dengan kekalahan apabila tewas 0-3 kepada juara Liga Rusia, Zenit St Petersburg pada Isnin.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Maktoum Bin Rashid Al Maktoum itu menyaksikan Zenit mencetak tiga jaringan daripada Rodrigo (minit ke-10), Malcom (15') dan pemain tengah, Danila Kozlov meledak gol ketiga pada minit ke-31.

JDT juga berpeluang mendapatkan gol sagu hati menerusi sepakan penalti pada minit ke-87, namun ia gagal disempurnakan oleh Safiq Rahim.

Ia merupakan kekalahan kedua JDT daripada lima perlawanan perlawanan persahabatan di Dubai, apabila sebelum ini skuad Harimau Selatan tewas 0-2 kepada FC Rostov.

isi

Antara aksi JDT menentang Zenit. —Facebook/JDT

Meskipun pahit menerima kekalahan tersebut, namun pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, ia adalah pengalaman berharga buat pasukannya.

"Terima kasih Zenit St Petersburg untuk perlawanan yang baik dan pengalaman pembelajaran yang hebat. Ia sentiasa menjadi penghormatan untuk bermain menentang kelab besar. Kualiti terbaik," kongsinya pada hantaran di laman Twitter miliknya.

Dalam perkongsian di ruangan komen Instagram pula, TMJ juga sempat memberitahu keadaan penjaga gol baharu JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

syihan

Syihan Hazmi diturunkan semasa babak kedua.

Perkara tersebut timbul apabila penyokong mempersoalkan pemilihan Farizal Marlias sebagai penjaga gol utama pada perlawanan tersebut sebelum digantikan dengan Syihan Hazmi pada babak kedua.

"Syihan demam. Tetapi semua pemain sudah berusaha sehabis baik. Level yang berbeza. Tetapi syabas kepada semua. Ini adalah pelajaran dan pengalaman yang berharga buat kami. Sekarang kami dah bersedia untuk 2023," tulisnya.

Skuad Harimau Selatan akan membuka tirai kempen Liga Malaysia 2023 bertemu dengan naib juara Liga Super 2022, Terengganu FC untuk aksi Piala Sumbangsih pada 24 Februari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram