Macam ayam-ayamkan pasukan lawan, penyokong rungkai aksi 'dribble' Arif Aiman


  • Podium
  • Selasa, 21 Feb 2023

Arif Aiman dirakam duduk di atas longgokan patung yang memberi mesej dia berjaya menewaskan kesemua 14 pemain lawan. — Facebook

JUARA Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT) melancarkan jersi baharu mereka bagi mengharungi musim 2023 yang akan mula membuka tirainya, Sabtu ini.

Jersi di laman sendiri dan di tempat lawan skuad Harimau Selatan itu diperkenalkan menerusi video klip berdurasi satu minit 40 saat di laman Johor Southern Tigers, pada 18 Februari lalu.

Gambar-gambar behind the scenes yang menampilkan enam pemain tonggak utamanya termasuk penyerang berbisa, Bergson da Silva, pula hanya dikongsikan laman rasmi JDT pada Isnin.

332105047_774327830231220_3547394667985228910_n

Aksi Arif Aiman menggelecek bola dalam rakaman pengenalan jersi JDT musim 2023. — Facebook

Selain Bergson, turut menjadi wajah JDT bagi pengenalan jersi tersebut ialah Arif Aiman Hanapi, Akhyar Rashid, Corbin Ong, Jordi Amat dan penjaga gol baharu, Syihan Hazmi.

Menerusi perkongsian itu, salah satu babak kelihatan Arif Aiman melakukan aksi dribble bola melepasi beberapa patung sebelum satu babak lain menunjukkan patung tersebut dalam keadaan berserakan di atas padang.

Dalam babak itu, Arif Aiman dirakam duduk di atas longgokan patung tersebut yang memberi mesej dia berjaya menewaskan kesemua pemain lawan.

Arif Aiman yang menyandang gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan dua musim berturut-turut cemerlang bersama JDT sepanjang musim lepas.

331973429_944653413628280_2747894582898313210_n

Meskipun masih muda, Arif Aiman merupakan antara tonggak utama Harimau Selatan. — Facebook

Pemain muda berusia 21 tahun itu juga mencuri tumpuan pada program pramusim JDT apabila meledak gol kemenangan ketika skuad Harimau Selatan menentang kelab gergasi Rusia, Lokomotiv Moscow dalam aksi persahabatan di Stadium The Sevens, Dubai.

Malah bintang muda sensasi itu pernah menjadi penjaring tunggal buat pasukan Harimau Selatan dalam aksi persahabatan bersama kelab Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund musim lalu.

"Dribble opponents anggap macam patung je ke ni?," tulis salah seorang penyokong, Khoirul Amri MdHanan.

Jika dilihat pada perkongsian gambar seterusnya, terdapat susunan 14 mannequin yang mewakili 14 pasukan lawan JDT dalam saingan Liga Super musim ini.

"14 lawan semua tumbang," kata Hafsah Haji Onn pula.

Perjalanan Liga Super musim ini menyaksikan 15 pasukan termasuk JDT bertanding memburu kejuaraan.

331963751_970745740580535_6210449879635269724_n

Barisan patung mannequin yang mewakili 14 pasukan lawan JDT. — Facebook

Selain aksi gelekan bola Arif Aiman, ada penyokong yang berasakan Syihan amat bertuah kerana dapat menjadi sebahagian kerjasama JDT dengan Nike sebagai penaja kelab elit itu untuk musim kesembilan.

Bukan itu sahaja, Syihan dirasakan amat bertuah kerana dapat beraksi dengan Ducati Panegale V4S milik pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).

"Untung betul Syihan dapat naik Ducati Panegale V4S milik TMJ," kata Firdaus Sarif.

syihan ducati

Syihan tampil dalam rakaman pengenalan jersi baharu JDT. — Facebook

Sebagai juara bertahan, JDT secara jelas memberi mesej kepada pasukan lawan bahawa mereka akan terus mengekalkan penguasaan dan rentak kemenangan yang dikecapi musim lalu.

Dengan momentum cemerlang yang diraih setakat ini, pasukan lain mungkin hanya boleh merebut kedudukan kedua selain mengharapkan tuah menyebelahi mereka kelak.

JDT bakal memulakan kempen Liga M bertemu Terengganu FC bagi aksi Piala Sumbangsih 2023 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada 24 Februari depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram