Angkara 'missing in action', jeneral tengah baharu TRW pernah kena hukum gaji ditahan


  • Podium
  • Sabtu, 25 Feb 2023

Gaji Rolon ditahan selama tujuh hari oleh pihak pengurusan sebagai tanda penalti atas isu disipilin. — Agensi

KELANTAN FC melengkapkan sembilan import dengan memasukkan seorang lagi tonggak baharu iaitu dengan menandatangani bekas pemain Piala Dunia Bawah-20 Argentina, Leonardo Rolon.

Menurut pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman, pengambilan pemain tersebut dibuat selepas difahamkan pemain dari Australia yang sepatutnya mengisi slot terakhir itu tidak jadi menyertai skuad TRW.

Pemain yang mendapat penampilan antarabangsa bersama Argentina itu, pernah beraksi dalam temasya South American Youth Championship pada 2015 dan tampil dalam perlawanan peringkat kumpulan dalam temasya Piala Dunia B-20 edisi 2015.

Rolon yang berpengalaman luas dalam kancah bola sepak Amerika Selatan itu pernah berkelana di beberapa negara seperti Argetina, Chile dan juga Mexico sejak dia bergelar pemain profesional pada 2013.

Pemain berusia 28 tahun itu pernah menyarung jersi Velez Sarsfield dan Arsenal Sarandi dalam saingan Liga Argentina dan juga Deportes Iquique serta Audax Italiano dalam saingan Liga Chile.

ROLON ARGENTINA

Rolon merupakan pemain Piala Dunia Bawah-20 Argentina.

Dalam kebanyakkan kelab yang pernah disertai, Rolon pernah mempunyai sejarah hitam dengan pasukan lamanya, Velez Sarsfield dan perkara itu difahamkan melibatkan isu disiplin.

Meskipun beraksi cemerlang selama lima musim bersama pasukan Velez, Rolon pernah dia tidak menghadiri perlawanan menentang skuad simpanan Rosario Central semasa sesi pramusim pada 2015.

Susulan tindakan missing in action pemain berusia 28 tahun itu yang tidak memberi notis awal atas ketidakhadirannya, gaji Rolon ditahan selama tujuh hari oleh pihak pengurusan sebagai tanda penalti.

Selain ditahan gaji, pemain berketinggian 1.71 meter itu juga mendapat hukuman lain yang mana dia diminta untuk melakukan latihan sama ada bersama skuad utama mahupun simpanan.

Jika Rolon melakukan kembali perangai lamanya itu, dia dikhuatiri tidak bertahan selama semusim bersama pasukan Kelantan dan sekali gus akan menyebabkan pihak pengurusan terpaksa mencari import baharu untuk menggantikannya.

Selain pemain yang juga mampu bermain di posisi tengah itu, Kelantan turut mengikat Carli De Murga (Filipina), Kim Ming-kyu dan Kang Eui-chan dari Korea Selatan, Cristian Mangaron Rontini (Itali), Mario Arques, Miguel Angel Garrido Cifuentes (Sepanyol) serta Nuha Marong Krubally (Gambia).

Kelantan bakal menerima kunjungan Kuching City FC di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu bagi aksi perlawanan pertama Liga Super kedua-dua pasukan pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram