KUFC bawa masuk tonggak Brazil lengkapkan 6 import


  • Podium
  • Jumaat, 24 Feb 2023

Kelantan United sewaktu sesi perlawanan persahabatan. — Facebook/KUFC

KELANTAN United FC (KUFC) menyasarkan kelompok 10 terbaik dalam saingan Liga Super 2023, kata presidennya, Rozi Muhamad.

Beliau berkata, kedudukan itu mampu dicapai memandangkan KUFC memiliki barisan pemain yang berpotensi serta memiliki kekuatan masing-masing untuk memberi saingan kepada pasukan lawan.

"KUFC lebih selesa dianggap pasukan ‘underdog’ pada saingan Liga Super musim ini tetapi menempatkan dalam kelompok 10 teratas menjadi matlamat utama kami.

"Kita pastinya akan berpuas hati jika mampu capai sasaran ini memandangkan saingan kali ini kita akan berdepan dengan pasukan hebat seperti Johor Darul Takzim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Penaja KUFC, di Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Rozi berkata, seorang lagi pemain import dari Brazil yang akan bermain di posisi penyerang akan menandatangani kontrak dalam masa terdekat sekali gus bakal menyaksikan enam pemain import akan dipertaruhkan oleh KUFC dalam saingan musim ini.

"Pemain import itu dalam proses dokumentasi sebelum menandatangani kontrak bersama KUFC dan kita akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

"Justeru, KUFC akan menggunakan enam khidmat pemain import yang mana lima daripadanya telah bersama pasukan dan menjalani latihan," katanya.

Sebelum ini, lima pemain import sah menandatangani kontrak selama semusim bersama KUFC iaitu Yan Victor dan Devid Silva (Brazil), Jose Elmer (Filipina), Ernist Batyrknov (Kyrgyzstan) dan Morgaro Gomis (Senegal).

KUFC akan menggunakan jersi berwarna merah dan hijau ketika bermain di halaman sendiri manakala jersi berwarna putih pula digunakan ketika bermain di tempat lawan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KUFC, sasar, pasukan, liga super, pemain import