SELEPAS bertahun-tahun menjadi 'mangsa' terhadap isu pengurusan dan kewangan, Perak FC berpeluang untuk mengumumkan kepulangan mereka ke divisyen teratas bola sepak tempatan.
Aksi pembukaan yang bakal menyaksikan pertembungan bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC di laman sendiri merupakan perlawanan pertama Liga Super mereka sejak 2020.
Oleh itu, terdapat jangkaan daripada ramai pihak yang mana ribuan penyokong bakal membanjiri Stadium Ipoh, Perak pada Sabtu bagi menyaksikan pasukan kegemaran mereka itu.
Kehadiran bintang-bintang muda dalam skuad The Bos Gaurus (TBG) memberi gambaran bahawa mereka bakal menempuhi satu era baharu selepas ini.
Prestasi Perak FC sepanjang tempoh pramusim kurang memberangsangkan. — Facebook/Perak FC
Meskipun ada segelintir peminat setia pasukan yang masih meragui kemampuan pemain di atas padang, sambutan yang dapat disaksikan sepanjang aksi pramusim seolah-olah menceritakan sebaliknya.
Jadi, bagi membakar lagi semangat kelab, ketua jurulatih, Datuk Lim Teong Kim memberi mesej menerusi satu video di laman YouTube rasmi pasukan.
"Kita sudah bersedia dan kita akan beri 100 peratus untuk berdepan Kedah minggu ini buat penonton-penonton yang akan membantu kami.
"Ini adalah satu janji untuk penyokong bahawa kami tidak akan mengecewakan mereka," katanya.
Teong Kim diberi kepercayaan mengendalikan skuad TBG selepas pernah mengumpul pengalaman membangunkan pemain muda ketika bergelar Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Walaupun tidak pernah bergelar ketua jurulatih, pihak pengurusan masih memberikan peluang buatnya selepas pelaburan besar-besaran dibuat terhadap pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram