TERENGGANU FC (TFC) bakal memulakan kempen Liga M bertemu Johor Darul Takzim (JDT) bagi aksi Piala Sumbangsih 2023 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada 24 Februari depan.
Finalis Piala Malaysia 2022 itu akan berentap untuk aksi Piala Sumbangsih yang akan dikira sebagai aksi pertama Liga Super buat kedua-dua pasukan.
Perlawanan itu bakal menguji pasukan bimbingan ketua jurulatih JDT, Estaban Solari dan anak-anak buah Tomislav Steinbruckner yang mengemudi skuad Hitam Putih musim ini menggantikan Nafuzi Zain.
Bagi pertahanan kental TFC, Argzim Redzovic, dia dan rakan sepasukan lain mengakui JDT bukan lawan mudah, namun mereka berazam akan memberi persembahan terbaik dalam misi memburu trofi pertama musim ini.
Argzim (belakang, tiga dari kanan) menggemari aksi away di SSI yang dianggap sebagai stadium bertaraf antarabangsa. — Facebook
"Tahun ini, perlawanan pertama aksi Piala Sumbangsih dengan JDT, bukan lawan senang, tapi kami cuba yang terbaik untuk melaksanakan tugas dengan baik dan berkesan.
"Kita harap taktikal coach Tomi menjadi dan dapat keputusan yang baik walaupun perlu berdepan tekanan beraksi di depan penyokong lawan.
"Dari psikologi memang bukan senang, tapi mungkin kita boleh cipta kejutan dalam aksi itu nanti," kata Argzim menerusi rakaman temu bual HarimauMalaya di YouTube.
Bakal naturalisasi negara itu mengakui dia teruja untuk mengharungi perlawanan sulung tersebut kerana menggemari aksi away di SSI yang dianggap sebagai stadium bertaraf antarabangsa.
"Kalau away game, saya suka main di Johor. Saya suka SSI sebab ada feel macam main di Eropah. Dari segi kualiti, SSI nombor satu, kedua baru home TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA)," katanya.
Stadium Sultan Ibrahim menggunakan rumput Zeon Zoysia.
Argzim berasakan bahawa TFC merupakan pasukan tempatan yang paling hampir dengan tahap kelab Harimau Selatan.
Dia turut memuji pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang mengubah landskap bola sepak Malaysia ke satu tahap yang disegani.
"Vibe para penyokong, pitch JDT is like different story (padang JDT mengagumkan). TMJ buka mata ramai pihak, tambah baik bola sepak Malaysia.
"Kualiti yang ada pada JDT tiada di Eropah... pengalaman saya main di liga Jerman, Austria, tak ada kelab macam JDT malah di liga Thailand pun tiada.
"Level JDT setanding liga Eropah dari banyak aspek seperti stadium, padang, fasiliti latihan, bilik persalinan, media dan pejabat.
"Bahkan kalau tengok JDT beruntung dapat menjalani pramusim dengan kelab Rusia di Dubai," katanya.
Menurutnya, meskipun JDT sudah berada di tahap yang tersendiri, tetapi skuad Sang Penyu berpeluang memberi saingan yang lebih sengit kepada penyandang juara liga itu pada musim ini berbanding musim lalu.
"Terengganu sebagai naib juara Liga Super tak jauh di belakang JDT tapi masih ketinggalan dalam banyak aspek. Insya-ALLAH TFC boleh setanding dengan JDT suatu hari nanti," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram