Gagal bersaing, masalah disiplin punca bekas 3 bintang Liga M 'malap' di JDT


  • Podium
  • Selasa, 21 Feb 2023

Musim pertama bersama JDT, Akhyar bermula dengan cemerlang apabila tampil dalam 23 perlawanan bersama Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KARIER sebagai seorang pemain bola sepak sama ada bintang tempatan mahupun dunia, pasti mempunyai pasang surutnya yang mana ada zaman kegemilangan, kejatuhan dan pasti pelbagai lagi perkara akan menghiasi kehidupan mereka sepanjang menyarung jersi sesebuah pasukan.

Ada pemain yang dahulunya menjadi rebutan beberapa kelab juga akan mengalami proses kejatuhan dalam sekelip mata dan kejadian tersebut berlaku mungkin disebabkan masalah pemain sendiri seperti isu disiplin, sikap serta gagal bersaing dengan pemain lain.

Masalah disiplin serta sikap boleh dikatakan masalah utama yang boleh merosakkan karier seorang pemain sehingga ada yang terpaksa berpindah dari kelabnya dan beraksi di pasukan lain.

Perkara tersebut turut berlaku dalam kancah bola sepak domestik dengan pemain-pemain dari pasukan terbaik Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Takzim (JDT) turut terpalit isu disiplin.

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang hanyut ketika bersama Harimau Selatan dek kerana masalah disiplin;

1) Akhyar Rashid

AKHYAR

Akhyar dikatakan mempunyai isu displin ketika menyertai JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Penyerang sayap muda, Akhyar Rashid semakin hilang sengat sejak menyertai skuad Harimau Selatan dan perkara itu boleh dilihat apabila dia kerap disisihkan daripada kesebelasan utama dalam perlawanan JDT.

Perkara tersebut didakwa berlaku selepas pemain berusia 24 tahun berkenaan dikhabarkan mempunyai isu disiplin dan ia didedahkan sendiri oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris.

TMJ pernah menegur Akhyar pada musim 2021 secara terbuka di samping memberikannya denda yang sedikit membebankan iaitu sebanyak RM15,000 disebabkan pemain Harimau Malaya itu lewat ke latihan.

Musim ini, pemain bertubuh kecil itu hanya diturunkan dalam tujuh aksi Liga Super dengan empat daripadanya merupakan penampilan dari bangku simpanan dan merekodkan satu jaringan sahaja.

Pemain kelahiran Kedah itu juga terpaksa bersaing dengan lambakan bintang di JDT seperti Arif Aiman Hanapi dan Fernando Forestieri.

2) Liridon Krasniqi

liridon-krasniqi-johor-darul-ta-zim

Liridon ditegur kerana terlalu berbangga diri. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Siapa yang tidak mengenali pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi yang sebelum ini sangat terkenal dalam kalangan penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC kerana dia pernah berkhidmat bersama Kedah FA, termasuk menjuarai Piala Malaysia 2016 dan Piala FA 2017.

Bagaimanapun, selepas berhijrah ke skuad Harimau Selatan pada musim 2019, pemain kelahiran Kosovo itu mulai 'hilang' dari kancah Liga M berikutan jarang diturunkan sebagai pemain utama JDT.

Kejatuhan Liridon itu juga difahamkan berpunca daripada masalah disiplin sehinggakan bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menegur sikap dan tahap disiplin Liridon.

Pemain yang kini beraksi sebagai arkitek tengah Terengganu FC (TFC), disifatkan terlalu mengamalkan sikap bangga diri dan melabel dirinya sebagai 'legenda Kedah' pada 2018.

3) Jorge Pereyra Diaz

DIAZ

Sikap ini yang membuatkan TMJ tidak menggemari perangai diva Diaz. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Jorge Pereyra Diaz adalah penyerang berbisa Harimau Selatan yang telah melengkapkan kegemilangan projek JDT di bawah kendalian bekas pengendali, Mario Gomez pada musim 2016.

Pemain yang disahkan tidak lagi menyarung jersi Harimau Selatan pada 2018 itu dikatakan berpunca daripada sikap kurang profesional Diaz dalam isu lambat melapor diri ke pusat latihan pasukan selepas bercuti.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh TMJ yang sangat bertegas mengenai isu disiplin dalam kalangan pemainnya meskipun tonggak tersebut merupakan penyerang berbisa buat Harimau Selatan.

Bukan itu sahaja, TMJ juga kecewa dengan sikap pemain Mumbai City itu yang melepaskan amarahnya di media sosial dan secara umumnya ia memang satu kesalahan bagi mana-mana kelab profesional di dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram