Jangan ulang kisah Junior ke JDT, fans mahu MFL tutup rapat jendela perpindahan sebaik tamat tempoh


  • Podium
  • Rabu, 22 Feb 2023

Junior Eldstal diumumkan JDT selepas jendela perpindahan ditutup Julai lalu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SELEPAS hampir tiga bulan penyokong bola sepak tanah air disajikan berita perpindahan pemain, mereka akhirnya mampu menarik nafas lega.

Berdasarkan kalendar yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), kesemua pasukan perlu menghantar senarai lengkap pemain untuk musim 2023 sebelum Liga Super bermula.

Jadi, dengan aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC bakal diadakan Jumaat ini, ia bermakna jendela perpindahan akan ditutup pada Khamis.

Beberapa aktiviti perpindahan menarik berlangsung sepanjang tempoh tiga bulan itu dengan ada beberapa pasukan yang tidak henti-henti melakukan pelaburan.

Kedah Darul Aman (KDA) FC, Perak FC dan Selangor FC merupakan antara kelab yang paling sibuk dengan harapan mereka mampu bangkit semula musim ini.

Selain itu, mereka juga pastinya memasang hasrat besar untuk menghentikan dominasi JDT yang mencatatkan satu tahun cukup bersejarah dengan empat trofi berjaya dirangkul skuad utama.

Bagi penyokong pula, mereka pastinya tidak sabar-sabar untuk melihat sentuhan berbeza daripada rekrut-rekrut baharu bagi membantu setiap pasukan mencapai tahap lebih tinggi.

448503447076968Website

Selangor FC menjadi salah satu pasukan yang melakukan pelaburan besar-besaran ketika jendela perpindahan kali ini. Facebook/Selangor FC

Tetapi, di sebalik kemeriahan yang semakin dirasai itu, terdapat juga beberapa kerisauan dilontarkan yang mana dikatakan ia berkemungkinan merencatkan kelancaran Liga Super 2023.

Seorang peminat tegar bola sepak tempatan, Ahmad Nadim Ahmad Tajuddin berkata, pihak MFL perlu bersikap lebih tegas menjelang penutupan tempoh pendaftaran pemain setiap pasukan.

"Esok (Khamis), tamatlah pendaftaran pemain bagi jendela perpindahan pemain yang pertama. Aku harap MFL senaraikan kepada umum pemain yang berjaya didaftarkan oleh kelab-kelab sehari selepas tarikh tamat pendaftaran.

"Ia bagi mengelakkan wujud persepsi negatif dalam kalangan penyokong apabila terdapat pasukan yang membuat pengumuman pemain baharu selepas beberapa minggu dari tarikh pendaftaran ditutup seperti musim lepas," katanya.

Meskipun hantaran di Facebook itu tidak ditujukan kepada mana-mana pihak, ia seperti satu teguran apabila JDT sebelum ini melakukan perkara itu.

Ketika jendela perpindahan kedua Liga Super 2022 Julai lalu, skuad Harimau Selatan mengumumkan kehadiran pemain pertahanan Harimau Malaya, Junior Eldstal seminggu selepas tempoh berkenaan ditutup.

Bagi segelintir penyokong, mereka berpendapat pasukan Selatan tanah air itu sudah mendaftarkannya lebih awal, namun hanya tidak mengumumkannya secara rasmi.

Isu pendaftaran Junior Eldstal itu sebelum ini menarik perhatian pelbagai pihak, termasuk pemerhati bola sepak negara, Zuraimi Zukri.

"Ramai betul JDT umum pemain ketika jendela perpindahan sudah tutup. Boleh daftar ke? Jawapan paling logik aku jumpa kat dalam ruangan komen adalah mereka sudah ditandatangani sebelum jendela perpindahan tutup dan hanya lambat umum.

"Benarkah? Tak ada siapa tahu. Hanya banyak bersandarkan kepada kepercayaan masing-masing tentang kredibiliti MFL. Kepercayaan aku dengan MFL cukup rendah. Orang lain tak tahu," katanya.

Jadi, bagi mengelakkan ia berlaku, cadangan penyokong tersebut seperti relevan bagi mengelakkan pelbagai persoalan timbul terhadap persatuan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram