NSFC buru calon import terakhir, 3 DNA Brazil termasuk Ronaldo ‘ex player’ Perak antara ‘shortlisted’


  • Podium
  • Jumaat, 17 Feb 2023

Skuad Jang masih memerlukan kehadiran seoraang pemain import untuk musim 2023. — Facebook/Negeri Sembilan FC

DALAM kancah Liga Super 2022, Negeri Sembilan FC merupakan salah satu pasukan terbaik dari segi serangan apabila berjaya menjaringkan 33 gol daripada 22 perlawanan.

Meskipun memiliki lambakan pemain bintang di posisi berkenaan, majoriti besar daripada gol yang terhasil berpunca daripada duo penyerang kelahiran Brazil, Gustavo dan Matheus Alves.

Bagi Gustavo, susuk fizikalnya yang cukup sasa menyukarkan benteng pertahanan lawan untuk menyekat kehadirannya di hadapan pintu gol apabila dia mudah mencetak 11 gol daripada 13 penampilan.

Sementara itu, sentuhan Alves di atas padang juga tidak mengecewakan selepas dia turut menjadi penyumbang terbesar skuad Jang dengan enam gol berjaya disumbat sepanjang musim.

Namun, selepas kontrak kedua-dua pemain itu tamat pada pembukaan jendela perpindahan, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan khidmat mereka.

Walaupun sebab di sebalik percaturan itu tidak didedahkan, kebanyakan penyokong berasakan ia berpunca daripada dana kelab yang tidak mencukupi.

1871578 (1)

Kehilangan Gustavo pastinya memberi kesan terhadap pencapaian skuad Jang untuk 2023. Facebook/Negeri Sembilan FC

Pandangan juga disokong apabila Negeri Sembilan FC seakan-akan enggan untuk membawa masuk khidmat pemain import untuk menghadapi musim 2023.

Tetapi, dengan desakan yang tidak henti daripada peminat setia pasukan, mereka akhirnya memilih untuk akur dan difahamkan sedang giat mencari pemain bersesuaian dengan taktikal ketua jurulatih.

Berdasarkan perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, juara Liga Perdana 2021 itu sedang berusaha mendapatkan khidmat penyerang kelahiran Brazil.

Bagaimanapun, sehingga kini, perkara tersebut masih tidak didedahkan meskipun jendela perpindahan semakin menghampiri penutupnya pada hujung Februari ini.

Namun, melihat kepada perkongsian penyokong bola sepak tempatan di media sosial, terdapat tiga pemain yang dirasakan bakal menyarung jersi pasukan itu musim ini.

1. Ronaldo

Meskipun hanya beraksi selama semusim dalam Liga Malaysia, Ronaldo berjaya mencetak namanya sebagai salah satu import yang cukup mengujakan.

Penyerang yang ketika itu hanya berusia 28 tahun itu dilihat sebagai salah percaturan buat Perak FA apabila dia lebih banyak meluangkan kariernya di tanah kelahirannya.

Bagaimanapun, perjudian itu sepertinya membuahkan hasil selepas skuad The Bos Gaurus mampu meletakkan diri mereka dalam pentas akhir Piala FA 2019.

da08d4f0cc8406bcfa8fe73cf20b4bec656fa200

Ronaldo (kiri) masih mampu memberi sumbangan terbaik bersama Perak FA.

Dalam kancah Liga Super pula, sumbangannya di hadapan pintu gol juga tidak mengecewakan berdasarkan enam gol yang berjaya dicetak dalam 10 penampilan.

Namun, isu kewangan dan pengurusan yang melanda Perak ketika itu menyaksikan Ronaldo terpaksa meninggalkan pasukan itu dan pulang ke kampung halamannya.

Kini, dengan usianya baru sahaja mencecah 31 tahun, pemain tinggi lampai itu boleh dianggap masih berada dalam kemuncak kariernya.

Musim lepas, penyerang tersebut terikat bersama kelab divisyen kedua Brazil, Gremio Novorizontino yang mana dia masih mampu mengumpul sembilan gol dalam 22 penampilan liga.

Namun, berdasarkan laman sesawang transfermarkt, Ronaldo sudah terikat dengan mana-mana pasukan, sekali gus membuka pintu buat Negeri Sembilan FC untuk menyambar khidmatnya.

2. Casagrande

2022 boleh dianggap sebagai satu tahun yang cukup mencabar buat Penang FC apabila mereka menduduki tangga tercorot Liga Sup dengan hanya 11 mata berjaya dikumpulkan.

Bagi penyokong Harimau Kumbang, punca utama di sebalik pergolakan itu ialah perancangan cacamarba daripada pihak pengurusan ketika melantik ketua jurulatih.

Hal itu kerana mereka memiliki lambakan pemain import yang berkualiti dan cukup berkemahiran dalam menggalas tanggungjawab masing-masing.

Antara tonggak pasukan yang wajar diberikan pujian ialah penyerang berjersi no. 9, Casagrande yang bijak menggunakan kelebihan fizikalnya.

Casagrande scored two goals against Sabah. - Photo by Penang FC

Kecederaan yang melanda Casagrande menyekat sumbangannya buat Penang FC. Facebook/Penang FC

Tidak cukup dengan itu, hujah tersebut disokong berdasarkan dua jaringan yang dijaringkan dalam lima penampilan Liga Super sebelum dilanda kecederaan.

Walaupun ia dilihat kurang memberangsangkan, penyokong perlu diingatkan bahawa Casagrande pernah memiliki deria jaringan yang cukup tajam pada 2021 dengan 12 gol dijaringkan dalam 19 penampilan.

Jadi, dengan pemain berusia 32 tahun itu dilaporkan sudah pulih sepenuhnya, Negeri Sembilan FC perlu mengambil peluang keemasan itu secepat mungkin.

Tetapi, adakah ketua jurulatih, K Devan akan tertarik dengan penyerang tersebut apabila kecederaan yang menghantui skuad Jang pada penghujung musim lepas menyebabkan mereka terlepas slot ke pentas Asia?

3. Nixon Guylherme

Kehadiran Nixon bersama skuad The Red Warrior (TRW) musim lalu boleh dikatakan kurang memberangsangkan selepas hanya empat gol berjaya dijaringkan dalam 12 penampilan Liga Perdana.

Lebih menarik lagi, dia juga diberikan tekanan di luar padang apabila penyokong terus mendesak pihak pengurusan Kelantan FC untuk tidak mengekalkan khidmatnya.

Perkara berkenaan seolah-olah turut dipersetujui pemilik pasukan, Norizam Tukiman yang enggan memberikan masa buat Nixon selepas bergelut dengan isu kecergasan sepanjang musim.

Hasil carian di Internet mendapati pemain kelahiran Bahia, Brazil itu masih tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas dia disahkan tidak lagi bersama Kelantan FC.

1725088

Nixon gagal membawa sentuhan seperti mana yang diharapkan penyokong Kelantan FC. Facebook/Kelantan FC

Jadi, dengan dia dilaporkan masih berminat untuk beraksi di Liga Malaysia, destinasi terbaik yang boleh dilihat ketika ini ialah Negeri Sembilan FC.

Selain ketandusan seorang penyerang di hadapan pintu gol, skuad Jang juga sepertinya terdesak untuk mengurangkan beban yang ditanggung kapten pasukan, Zaquan Adha Abd Razak.

Di samping itu, kehadiran bekas penyerang tempatan Shahrel Fikri Mohd Fauzi juga membolehkan Nixon mencipta gandingan untuk memacu pasukan itu ke hadapan.

Persoalannya, adakah Devan akan sekali lagi terbuka untuk berdepan isu kecergasan anak-anak buahnya seperti mana yang sudah dibincangkan mengenai Casagrande di atas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram