Dua otai HM jadi 'sifu' Tommy Mawat sepanjang berguru di Paroi


  • Podium
  • Jumaat, 17 Feb 2023

Tommy tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan kelab NSFC yang disertainya musim ini. — Facebook/NSFC

KHIDMAT pemain berasal dari Sarawak, Tommy Mawat Bada dikatakan menjadi buruan Negeri Sembilan FC (NSFC) sejak pertengahan musim lalu.

Pemain kelahiran Belaga yang sebelum ini beraksi dengan Sabah FC di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu akhirnya diperkenalkan sebagai tonggak sayap skuad Jang musim 2023.

Kualiti dari segi ketangkasan dan kepantasan larian yang ada pada diri pemain berusia 28 tahun itu nampaknya cukup baik untuk mengulangi prestasi pasukan musim lalu, lebih-lebih lagi dari segi serangan.

326268558_1365062037659445_5083037240813787228_n

NSFC berazam memperoleh keputusan yang baik musim ini. — Facebook

Musim lepas, skuad Jang merekodkan satu tahun yang cukup bermakna apabila menamatkan saingan liga di kedudukan keempat di samping meneruskan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia.

Bagi Tommy, dia berhasrat mahu membantu pasukan mengulangi kecemerlangan itu dengan mendapatkan kelompok empat terbaik pada musim ini.

"Harapan saya untuk skuad NSFC dapatkan keputusan yang baik. Kami akan harungi perlawanan nanti secara game-by-game. Dari situ kami cuba dapatkan keputusan yang baik dan bawa ke perlawanan seterusnya.

"Ini akan beri positive mindset kepada semua pemain. Kami akan cuba kekalkan momentum permainan yang bagus untuk dapatkan keputusan baik," katanya kepada Majoriti.

323463735_5243775099056508_8057644215208206288_n

Zaquan Adha antara senior yang banyak memberi tunjuk ajar kepada Tommy. — Facebook

Berhubung persiapan pasukan menghadapi Liga Super, Tommy berkata, persiapan pasukan juga baik dengan pemain-pemain termasuk dirinya sudah membina keserasian antara satu sama lain.

"Setakat ini, persiapan pasukan nampak tiada masalah lagipun semua tiga import dah ada. Untuk diri saya sendiri juga pun okey, tiada masalah musim ini.

"Keserasian juga tidak menjadi masalah bagi kami. Pemain senior seperti Mahali Jasuli dan Zaquan Adha banyak bagi tunjuk ajar kepada saya dan rakan-rakan lain.

"Pengalaman mereka tu yang buat kami lebih bersemangat untuk meningkatkan prestasi diri masing-masing," kata Tommy lagi.

1760415

Tommy diberikan pelbagai tanggungjawab berbeza di Sabah FC termasuk beraksi sebagai pertahanan kiri. — Facebook

Berhubung penghijrahan dari Sabah FC pula, Tommy berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan kelab baharu.

"Bagi saya benda ni (tukar kelab) dah biasa, bukan benda baharu. Nak adapt dengan keadaan baharu tu saya dah biasa. Dari Sabah ke NSFC lebih kurang saja. Tambahan lagi, dalam aksi pramusim, kami dah bersama sebagai pasukan dan face-to-face dengan pasukan lain," katanya.

Tommy juga sempat mengajak para penyokong untuk memeriahkan stadium pada musim ini sebagai tanda sokongan kepada pasukan.

"Saya harap jangan jemu datang stadium sokong team, mereka macam pemain ke-12 tanpa mereka, kami punya semangat pun lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram