KERJA-KERJA penggantian, pembaikan kabel dan komponen lampu limpah Stadium Perak, Ipoh, Perak yang dilaporkan hilang serta rosak dijangka siap sepenuhnya pada Rabu, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Beliau berkata, kerja-kerja tersebut telah siap 70 peratus dan yakin kemudahan di stadium itu dapat digunakan sebelum perlawanan antara Perak FC menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi pembukaan Liga Super 2023, Sabtu ini.
"Kami sudah berjanji dengan pemilik Perak FC XOX Berhad yang sebelum 25 Februari akan siap sepenuhnya," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis angkat sumpah pelantikan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Ipoh, Perak pada Rabu.
Ditanya sama ada terdapat unsur sabotaj dalam kejadian berkenaan, Rumaizi berkata, beliau menyerahkan kepada pihak polis bagi melakukan siasatan secara terperinci.
Jumaat lepas, MBI mengesahkan berlaku kecurian kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak dan siasatan mendapati hampir keseluruhan kabel telah dipotong dan komponen lampu limpah telah dicuri.
Pihak MBI menganggarkan kerugian sebanyak RM135,000 akibat kejadian itu.
Sementara itu, seramai 25 Ahli Majlis mengangkat sumpah dengan tempoh pelantikan berkuat kuasa 16 Februari lepas hingga 15 Februari tahun depan.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram