PENYOKONG bola sepak tempatan pastinya sedikit terkejut dengan pengumuman bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali yang mengumumkan persaraannya pada Selasa.
Dia yang sebelum ini terikat bersama Kuala Lumpur (KL) City FC mengambil keputusan tersebut meskipun khabar angin sebelum ini mengaitkannya dengan Kelantan United FC.
Persaraan itu pastinya sukar untuk diterima penyokong Harimau Malaya apabila sumbangan penyerang berbisa itu membolehkan pasukan negara menjulang Piala AFF 2010.
Namun, tidak lama selepas itu, seorang lagi pemain yang cukup ternama di rantau Asia Tenggara turut memilih untuk tidak lagi meneruskan kariernya dalam sukan berkenaan.
Shahril Ishak pernah menjulang pelbagai kejuaraan di peringkat kelab dan kebangsaan. — Agensi
Penyerang kebangsaan Singapura, Shahril Ishak mengumumkan persaraannya menerusi sebuah hantaran di Instagram peribadinya, thenumberseventeen.
"Ia bukanlah satu keputusan yang mudah, saya sendiri tidak mahu masanya tiba, tetapi saya tahu lambat laun ia akan datang jua walaupun ia amat sukar.
"Saya berasa sungguh berbangga kerana berpeluang untuk menceburi sukan yang amat saya minati ini. Bola sepak sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya," tulisnya.
Sebelum ini, pemain berusia 39 tahun itu pernah mewakili beberapa kelab, termasuk Johor Darul Takzim (JDT) yang mana dia diletakkan dalam skuad simpanan di Liga Perdana.
Kelab terakhir yang diwakili Shahril ialah Hougang United yang mana dia hanya berjaya menjaringkan satu gol selepas 18 penampilan Liga Singapura musim lepas.
Pemain berketinggian 1.73m itu mencuri perhatian media apabila membantu negaranya muncul sebagai pemenang pingat perak Sukan SEA 2007 dan ketika menjuarai Piala AFF 2012. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram