Safee Sali umum persaraan, 3 kelab dipetik wajar rekrut jadi 'coach'


  • Podium
  • Selasa, 21 Feb 2023

Safee merupakan pemain utama ketika Malaysia memenangi Piala AFF pada 2010. — Instagram/Safee

MEMPUNYAI bilangan jaringan yang melebihi 136 untuk kelab dan 47 untuk negara, legenda bolasepak Malaysia, Safee Sali akhirnya mengumumkan persaraan beliau daripada bola sepak profesional pada Selasa.

Pengumuman tersebut diberitahu sendiri secara rasmi oleh Safee menerusi satu sesi sidang media yang dilakukannya di Sofitel Kuala Lumpur Damansara.

Mengikuti perjalanan ikon bola sepak berusia 39 tahun itu selama hampir dua dekad, Safee memulakan kerjaya profesional pada tahun 2004 dan bermain dalam beberapa buah kelab bolasepak yang terbaik di dalam serta luar negara.

Antara kelab yang pernah menggunakan khidmatnya ialah Sarawak, Johor Darul Takzim (JDT), Kuala Lumpur City FC, Selangor FC dan Pelita Jaya FC dari Indonesia.

Pada 2022, beliau telah memegang rekod sebagai pemain bola sepak Malaysia pertama yang bermain dalam dua perlawanan akhir Piala AFC iaitu semasa bermain dengan KL City FC dan skuad Harimau Selatan pada 2015.

WhatsApp Image 2023-02-21 at 14.38.22

Safee sewaktu bersama skuad Warga Kota. — Instagram/Safee

Sewaktu menyarung jersi Harimau Malaya pula, Safee merupakan penyerang dan watak penting dalam kejayaan Malaysia memenangi Piala AFF pada 2010.

“Bola sepak akan sentiasa menjadi sebahagian besar daripada kehidupan saya tetapi saya amat teruja untuk meneroka masa hadapan dan peluang yang menanti. Dalam peralihan ke fasa seterusnya dalam hidup saya, saya ingin memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan saya dalam menjadi pemangkin untuk generasi bola sepak Malaysia yang seterusnya.

"Saya amat teruja untuk mengumumkan bahawa saya sedang dalam usaha untuk menubuhkan akademi bola sepak yang akan mencungkil bakat-bakat muda ke peringkat yang tertinggi.

"Pada masa yang sama juga, saya juga dalam usaha untuk menghasilkan sebuah dokumentari bertajuk “SEPULUH” yang akan memaparkan kehidupan dan kerjaya bola sepak saya,” kongsinya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, ada juga penyokong yang berharap agar Safee boleh menjadi jurulatih kelab Liga Malaysia dan sekali gus membantu membawa perubahan untuk pembangunan bola sepak tanah air.

Terdapat tiga kelab yang dipetik oleh penyokong tanah air untuk menggunakan kepakarannya dan pasukan tersebut ialah Perak FC, JDT dan juga Penang FC.

Skuad Harimau Selatan dipetik susulan ia merupakan salah satu bekas pasukan Safee dan sekiranya dia juara bertahan Liga Super itu, Safee mungkin boleh terlibat dalam pembangunan akar umbi iaitu menjadi pengendali akademi JDT.

Penyokong skuad Harimau Kumbang pula berharap agar dapat melihat kerjasama antara dua bekas legenda Selangor iaitu Akmal Rizal dan Safee sendiri membimbing Penang FC Bawah 23 tahun.

Safee yang ingin membina akademi sendiri itu juga dicadangkan untuk menyertai Perak FC terlebih dahulu bagi mengambil pengalaman dari jurulatih berpengalaman dalam mendidik pemain muda iaitu, Datuk Lim Teong Kim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram