Aksi Perak-KDA FC mungkin tidak terkesan isu curi kabel — MFL


  • Podium
  • Selasa, 21 Feb 2023

Stuart turut memberi ulasan mengenai beberapa isu lain, termasuk permohonan Terengganu FC untuk menukar stadium pada musim 2023.

KES kecurian kabel lampu limpah hampir pasti tidak akan menghalang Perak FC daripada beraksi di laman sendiri pada aksi pembukaan Liga Super 2023 menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam yang kesal dengan insiden kecurian kabel salah satu tiang lampu limpah di gelanggang keramat Perak itu berkata, pihaknya dimaklumkan kerja-kerja menggantikan kabel yang dicuri sedang dilakukan.

Beliau berkata, MFL akan terus berhubung dengan Perak bagi memastikan segala isu dapat diselesaikan sebelum hari perlawanan.

"Kita (MFL) ada beberapa cadangan (pelan kontingensi) tetapi saya tak mahu timbulkan apa-apa spekulasi, keutamaan ialah untuk pastikan perlawanan itu dilaksanakan mengikut jadual sedia ada,” katanya.

Stuart berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan MFL dan Al Rajhi Banking & Investment Corporation di Kuala Lumpur pada Selasa.

WhatsApp Image 2023-02-21 at 21.34.47

Perkongsian pengguna media sosial memaparkan kabel lampu di Stadium Ipoh, Perak sudah dicuri. Media sosial

Minggu lepas, tular di media sosial beberapa keping gambar keadaan yang menunjukkan kotak kabel lampu limpah selepas berlaku kecurian, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong The Bos Gaurus (TBG) yang bimbang perlu menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan kesayangan mereka pada sebelah petang.

Sepak mula Perak dan KDA FC dijadual bermula jam 9 malam.

Pada masa sama, Stuart berkata, MFL juga sedang menunggu dokumen diperlukan berkaitan permohonan Terengganu FC untuk menjadikan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus sebagai gelanggang tuan rumah musim ini.

"Surat pihak ketiga iaitu dari kerajaan negeri yang diperlukan, akan dihantar dalam masa dua atau tiga hari lagi, saya rasa tiada masalah di peringkat kelab kerana mereka pun akan main dua perlawanan pertama di tempat lawan, jadi masih ada masa,” katanya.

Ketika ditanya apakah isu sebenar berhubung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Stuart enggan menjawab dan menyerahkan kepada pengurusan Terengganu FC untuk mengulasnya.

Saingan Liga Super 2023 akan membuka tirai Jumaat ini, dengan perlawanan Sumbangsih antara Johor Darul Takzim (JDT) dan skuad Sang Penyu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Sementara itu, pada majlis hari ini menyaksikan bank digital Al Rajhi iaitu Rize menjadi Bank Digital Rasmi Liga Malaysia (Liga-M) 2023, dengan pengguna baharu dan sedia ada layak mendapat potongan harga tiket sebanyak 10 peratus selama tiga bulan, apabila mereka membayar menggunakan kad debit Rize. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram