TEMPOH pramusim bermula dari awal Disember lalu menyaksikan pasukan-pasukan Liga Super mengadakan aksi persahabatan bagi menilai kualiti skuad sedia ada.
Di samping mengadakan pertemuan bersama kelab tempatan, ada juga yang mengambil peluang itu untuk berdepan cabaran beberapa pasukan luar negara.
Antaranya, pasukan di tangga ketiga Liga Super 2022, Sabah FC yang memilih untuk menjalankan sesi latihan berpusat di Thailand bermula hujung Januari lalu.
Pendekatan itu diambil bagi membolehkan keserasian antara pemain baharu dan lama segera dibentuk selepas perbelanjanan secara besar-besaran dibuat sepanjang tempoh jendela perpindahan.
Beberapa rekrut baharu dilihat sudah mula mempamerkan belang masing-masing, termasuk penyerang kelahiran Brazil, Jailton Paraiba dan pertahanan sayap, Daniel Ting.
Tidak cukup dengan itu, aksi-aksi persahabatan terbabit juga membuktikan beberapa tonggak pasukan masih memiliki sentuhan yang sama seperti Park Tae-su dan Damien Lim.

Ketiadaan Gary menyebabkan penyokong Sang Badak mula cemas. — Facebook/Sabah FC
Namun, di sebalik perkembangan positif yang dibuktikan di atas padang, beberapa persoalan masih dilontarkan penyokong Sang Badak menerusi ruangan komen di media sosial.
"Gary Steven Robbat masih dalam skuad Sabah FC kah? Sepanjang pramusim, tiada pula kelihatan mereka di atas padang," soal Chris Lee ARsenal.
Musim lepas, pemain kelahiran Kulim, Kedah itu terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dengan kerap di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee apabila berdepan isu kecergasan sepanjang musim.
Dalam 22 perlawanan Liga Super, Gary hanya diturunkan sebanyak 15 kali sebelum isu kecederaan menyaksikan dia tidak membuat sebarang penampilan dalam kempen Piala Malaysia.

Perbualan antara Gary bersama salah seorang penyokong Sabah FC. — Facebook/Arezbieyn Qeenx HK
Bagaimanapun, tinjauan lanjut di media sosial mendapati seorang penyokong Sang Badak, Arezbieyn Qeenx HK mengambil keputusan menghubunginya baru-baru ini.
"Ya, saya masih bermain bersama Sabah FC tetapi, ketika ini, saya masih mengalami kecederaan," jawab Gary menerusi mesej di Instagram peribadinya.
Perkara tersebut seolah-olah memberi harapan untuk menyaksikan pemain berusia 30 tahun itu bakal bangkit dan terus menabur bakti bersama pasukan Borneo itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
