PASUKAN Liga Super benar-benar akan menghadapi cabaran besar menentang Sabah musim ini.
Mana tidaknya, pemain baharu skuad The Rhinos, Gabriel Peres dari Brazil sudah pasti menggerunkan pihak lawan kerana bek tengah berketinggian 1.98 meter itu dijangka memperkuatkan benteng pertahanan pasukan Borneo itu.
Peres menampilkan aksi yang sangat mengagumkan dalam perlawanan persahabatan pramusim mereka, terutamanya dalam tiga perlawanan terakhir apabila dia turut mencetak tiga gol.
Bekas tonggak Brasil-RS itu bukan satu-satunya kehadiran yang mengagumkan di Sabah kerana Sang Badak mempunyai beberapa pemain lain yang berketinggian lebih 1.8 meter terutamanya dalam jentera pertahanan.
Antara pemain yang berketinggian melebihi 1.8 meter seperti Park Tae-su dari Korea Selatan pada 1.85 meter, Dominic Tan dan Irfan Zakaria kedua-duanya berdiri pada 1.83 meter.
Selepas berada dalam arena sukan bola sepak Malaysia, Peres yang berusia 25 tahun itu bersedia untuk menyinar dalam aksi pertamanya di Asia.
Peres tidak sabar beraksi bersama The Rhinos musim ini. — Facebook/SabahFC
“Seronok dapat bersama pasukan hebat yang mempunyai matlamat besar. Penyokong sangat baik, anda boleh melihat mereka memenuhi stadium semasa perlawanan persahabatan.
"Saya tidak sabar untuk mencapai sesuatu yang hebat dengan kelab ini,” tambahnya yang berhasrat membantu Sabah mencapai sasaran tiga teratas mereka untuk menempah tiket Piala AFC.
Ketika ditanya mengenai gaya permainannya, Peres berkata, dia mempunyai keupayaan fizikal untuk melakukan cabaran yang kuat dan ancaman dalam 'duel' di udara.
“Selain ketinggian dan fizikal, saya mempunyai kekuatan dalam penguasaan permainan bagi memastikan kami melakukan pergerakan yang baik serta serangan pantas dari belakang,” katanya.
Bagaimanapun, posisi di bahagian bek tengah itu akan berlakunya saingan sengit dalam skuad Sabah FC tetapi Peres tidak terlalu bimbang mengenai perkara berkenaan.
“Kami mempunyai pemain untuk bermain dengan dua atau tiga pemain pertahanan yang pada saya itu adalah keindahan pasukan ini.
"Para pemain telah memberikan kerja yang padu semasa latihan dan perlawanan persahabatan. Kami akan bersedia untuk musim baharu,” ujarnya.
Perlawanan pertama Sabah FC musim ini akan menentang PDRM FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram