
KERANCAKAN perpindahan saat akhir para pemain di Liga Malaysia (Liga M) semakin menarik apabila beberapa pasukan dilaporkan akan memberi kejutan kepada para penyokongnya.
Antara pasukan yang sehingga ke hari ini masih terpalit dengan khabar angin perpindahan pemain ialah Sabah FC susulan baru-baru ini skuad The Rhinos akan membawa masuk seorang tonggak import lagi.
Jika minggu lalu penyokong gembira dengan kemasukan tonggak pertahanan pasukan Liga 1 Korea Selatan, FC Seoul iaitu Ko Kwang-min, kali ini seorang lagi pemain dari negara tersebut akan menyarung jersi Sang Badak.
Difahamkan Sabah FC akan mengikat pemain Liga 2 Korea Selatan iaitu Nam Yun-jae dan pemain yang sebelum ini beraksi bersama Gyeongju KHNP itu juga akan menjadi tonggak pertahanan pasukan The Rhinos musim ini.
Selain Gyeongju KHNP, pemain berusia 21 tahun itu juga pernah beraksi bersama Jeonnam Dragon sejak berstatus sebagai pemain skuad remaja sehinggalah dia diserap ke pasukan utama pada 2021.
Lebih menarik, bukan hanya Yun-jae sahaja pemain Jeonnam Dragon yang beraksi di Malaysia musim ini susulan bekas rakan sepasukannya iaitu Jonathan Balotelli kini menyarung jersi Kedah Darul Aman (KDA FC).
Bakal peledak berbisa Sang Kenari itu disahkan sebagai pemain KDA FC pada Januari lalu dan Balotelli bersama Yun-jae merupakan antara wajah membantu Jeonnam Dragon menjuarai Piala FA Korea Selatan pada musim 2021.
Tangkap layar Insta Story Yun-jae.
Usia Yun-jae yang muda sememangnya beri kelebihan kepada Sabah FC untuk membentuknya menjadi pemain jangka masa panjang buat The Rhinos, ada juga yang tidak kemungkinan dia akan beraksi bersama skuad Bawah-23 tahun Sang Badak.
Menjengah di media sosial Yun-jae, pemain itu juga seperti memberi petunjuk bahawa dia tidak sabar untuk sertai Sabah FC sebagai pemain rasmi.
Menerusi hantaran di Insta Story miliknya, Yun-jae memuat naik gambarnya sewaktu sesi latihan Sabah FC dengan kapsyen api yang membawa maksud jiwanya berkobar-kobar untuk beraksi bersama The Rhinos.
Sekiranya Yun-jae disahkan sebagai pemain rasmi, Sabah FC kini sudah mempunyai enam tonggak import baharu iaitu Gabriel Peres, Telmo Castanheira, Jacob Njoku, Jailton Paraiba dan Kwang-min. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram