SELEPAS menandatangani beberapa pemain baharu dan mengadakan siri perlawanan persahabatan di Thailand serta di Stadium Likas, Sabah FC semakin yakin untuk menghadapi saingan mencabar pada musim ini.
Segala persediaan seperti melakukan rombakan pemain itu merupakan langkah berani yang diambil Sabah FC untuk saingan liga domestik dan juga kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Bukan hanya penyokong yang berharap agar usaha Sabah FC menambah baik kualiti pasukan itu membuahkan hasil, malah bekas pemain skuad Sang Badak pada musim lepas juga mengharapkan benda yang sama.
Meskipun sudah tidak bersama skuad The Rhinos, namun tonggak pertahanan, Nazirul Naim Che Hashim yakin bahawa prestasi pasukan berpangkalan di Borneo itu pasti akan bertambah baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
Nazirul Naim secara rasmi menyertai Sabah FC pada musim 2021. — Facebook/SabahFC
Nazirul Naim merupakan antara pemain Sabah FC yang tidak berada dalam perancangan skuad The Rhinos pada musim ini dan posisinya itu juga sudah digantikan dengan pemain baharu.
Posisi pertahanan kiri yang dahulunya diisi oleh pemain berusia 29 tahun itu namun kini diganti oleh bekas tonggak Selangor FC, R Dinesh dan juga bintang import dari Korea Selatan iaitu Kwang Min-ko.
Meskipun sudah tidak bersama skuad The Rhinos, namun harus diakui Nazirul Naim antara wajah utama benteng pertahanan Sabah dengan mengumpul sebanyak 15 penampilan Liga Super dan dua daripadanya aksi penuh 90 minit perlawanan.
Dalam sesi temu bual bersama Majoriti, bekas pemain Harimau Malaya itu yakin bahawa Sabah FC mampu mendapatkan keputusan yang lebih baik daripada musim lepas bagi saingan Liga Super nanti.
"Untuk Sabah, saya rasa mereka lagi baik tahun ini dan saya rasa mereka akan dapat keputusan yang positif. Saya doakan yang terbaik untuk Sabah FC," katanya kepada Majoriti.
Dia yang kini bersama Kuala Lumpur (KL) City FC masih cuba menyesuaikan diri dengan pasukan itu dan mengakui sepanjang aksi persahabatan dengan skuad Warga Kota mampu membantunya kenal lebih rapat pemain-pemain lain.
Nazirul Naim disahkan menjadi sebahagian daripada The City Boys pada Januari lalu. — Instagram/NazirulNaim
"Setiap pemain akan mengalami proses perpindahan. Apabila kita habis kontrak dan perlu cari pasukan baharu, KL City tawarkan saya untuk bermain di sini, saya terima.
"Untuk adapt itu mungkin ambil masa sebab nak kenal lagi rapat. Kita kena tahu cara permainannya dan dia tahu cara permainan kita. Aksi persahabatan yang diadakan adalah sangat baik untuk liga," tambahnya.
Pemain kelahiran Kuala Kangsar itu berkata, selepas beberapa kali turun beraksi bersama skuad Warga Kota, banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki bagi terus kekal memberi saingan dalam liga.
"Saya akan cuba membantu pasukan tahun ini. Untuk pasukan, saya rasa masih banyak perlu diperbaiki di bahagian tengah, pertahanan dan serangan. Saya rasa banyak lagi aspek kami perlu baiki sebelum bermulanya Liga Super," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram