Ronaldo syukur, kongsi pengalaman berdepan gempa bumi di Turkiye


  • Podium
  • Isnin, 20 Feb 2023

Ronaldo Kwateh mengakui dia sangat bersyukur kerana tidak terkesan dengan bencana tersebut. — Agensi

GEMPA bumi yang melanda Turkiye dan Syria pada 6 Februari lalu mengakibatkan kerugian dan kemusnahan yang cukup besar bagi penduduk di kedua-dua buah negara.

Ini termasuk beberapa figura dan individu ternama yang juga terkesan sehingga ada yang menghembuskan nafas terakhirnya dalam runtuhan bangunan.

Namun, ada juga yang bernasib baik apabila terselamat daripada bencana alam tersebut dan diberikan ruang untuk menceritakan pengalaman ngeri itu.

Antara pihak yang terbuka untuk berkongsi kisah menyentuh hati itu ialah pemain skuad remaja Bawah 20 (B-20) Indonesia, Ronaldo Kwateh.

Pemain berusia 18 tahun itu dilaporkan sedang berada dalam proses rundingan bersama kelab divisyen bawahan Turkiye, Bodrumspor ketika kejadian tersebut berlaku.

"Pertamanya, saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana saya masih mampu kembali bersama pasukan dan pihak kejurulatihan.

"Selain itu, saya juga berasa cukup senang hati kerana diberikan kemudahan untuk berada dalam proses rundingan kontrak," katanya kepada CNN Indonesia.

Berikutan insiden itu, Ronaldo dibawa pulang ke kampung halamannya bagi menyertai kem latihan bersempena aksi Piala Asia B-20 di Uzbekistan dari 1 hingga 18 Mac.

Menurut laporan semasa, lebih daripada 39,000 nyawa dilaporkan sudah terkorban selepas gempa bumi berukuran 7.8 skala magnitud itu melanda Turkiye dan Syria.

"Ketika kejadian itu berlaku, saya tidak terkesan kerana bandar yang saya diami jauh daripada kawasan gempa. Tetapi, kita harus menghargai kerana kesannya yang cukup buruk," tambah Ronaldo.

Sebelum ini, Ronaldo mencuri perhatian media selepas melakukan debut bersama Madura United ketika usinya baru sahaja mencecah 16 tahun. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram