Selain Bin Zayed, Kedah turut dapat penaja dari benua Amerika


  • Podium
  • Ahad, 19 Feb 2023

Bin Zayed International LLC diumumkan sebagai penaja antarabangsa utama pasukan KDA FC.

BIN Zayed International LLC diumumkan sebagai penaja antarabangsa utama pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi saingan bola sepak Liga Super musim ini.

Pemilik Majoriti KDA FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, pihaknya berterima kasih kepada syarikat gergasi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu kerana menerima tawaran diberikan sekali gus menjadi pencetus kepada syarikat asing untuk menaja pasukan bola sepak di Malaysia.

"Mereka (Bin Zayed) mengenali saya dan ini amanah yang harus dipikul untuk mengurus pasukan agar lebih baik kerana ia turut melibatkan nama mereka juga," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi, lagu dan pengumuman penaja di Stadium Darul Aman, Kedah pada Sabtu.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Selain itu, Mohd Daud memaklumkan KDA FC juga mendapat tajaan daripada syarikat Kensana Health yang berpusat di Kanada.

"Kedah turut mendapat tajaan daripada Langkawi Pure (HHH Group Sdn Bhd); Energy Eco Berhad; Tek Financial (L) Limited; Cosmic Angle Travel & Tours Sdn Bhd; PayHalal (Souqa Fintech Sdn Bhd); BerryPay (M) Sdn Bhd; Data Sukan Sdn Bhd dan Lotto (Prestige Sports Sdn Bhd)," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Daud berkata jelajah praperlawanan di Turkiye selama 10 hari sebelum ini mewujudkan 'keluarga baharu' dalam pasukan berkenaan sekali gus membentuk keserasian antara pemain.

"Bagi saya (tempoh) 10 hari bermain di sana satu aset yang cukup besar. Bila ada rasa kekeluargaan akan ada komunikasi dan bila ada itu ada hubungan yang baik dan mereka akan lebih serasi, jadi keserasian itulah yang kita hilang tahun-tahun lepas.

"Jadi ini suasana yang cukup baik selain ketahanan minda dan fizikal, itu yang luar biasa apabila mewujudkan keluarga baharu dalam kalangan pemain kita sebagai persiapan menjelang liga," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KDA FC, penaja, Bin Zayed, Dr Mohd Daud Bakar