Gomes mahu bantu Penang capai 'top 10' Liga Super


  • Podium
  • Isnin, 20 Feb 2023

Gomes menyertai Penang FC bagi menguatkan lagi jentera serangan Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC

PENYERANG import Penang FC, Giovane Gomes mengakui bahawa dia cukup teruja untuk membuka lembaran baharu buat kariernya dalam kancah Liga Super.

Dia yang pernah menyertai Melaka United untuk separuh musim pada 2021 turut berjanji akan memberikan usaha terbaik bagi membolehkan skuad Harimau Kumbang menduduki tangga 10 terbaik liga.

"Ketika saya menerima tawaran untuk pulang ke Liga Malaysia, saya masih terikat dengan kelab di Brazil. Saya juga tidak berfikir panjang untuk membuat keputusan kerana ia merupakan peluang buat saya menjadi pemain terbaik.

"Saya mengumpul banyak pengalaman ketika bersama Melaka United kerana ketika itu, kami berada dalam zon penyingkiran. Tetapi, pemain seakan-akan tidak terkesan dan kami bersungguh-sungguh untuk kekal dalam Liga Super," katanya.

Gomes boleh dianggap sebagai salah seorang tunjang buat skuad Hang Tuah apabila membantu mereka menempatkan diri dalam pentas separuh akhir Piala Malaysia 2021.

Namun, bagi penyerang berusia 27 tahun itu, dia mahu memberi sepenuh tumpuan untuk membantu Penang FC menambah baik pencapaian mereka dalam arena bola sepak tempatan.

"Kami akan fokus dan memberikan yang terbaik buat pasukan. Setiap pemain perlu dianggap sebagai aset penting buat skuad Harimau Kumbang," katanya.

Selain Gomes, pasukan Utara tanah air itu juga membawa masuk beberapa import lain, termasuk Soony Saad, Curt Dizon serta Zaw Min Tun bagi meningkatkan kualiti pasukan.

Di samping itu, pihak pengurusan juga mengambil keputusan untuk melantik Manzoor Azwira Abdul Wahid sebagai ketua jurulatih selepas pernah mengendalikan pasukan itu sebelum ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram