Pasang CCTV antara 3 cadangan 'fans' elak kejadian sabotaj lampu limpah Stadium Perak berulang


  • Podium
  • Isnin, 20 Feb 2023

Kerja-kerja membaik pulih lampu limpah di Stadium Perak sedang giat dijalankan. — Facebook

PENYOKONG Perak FC digemparkan dengan insiden sabotaj selepas bilik menempatkan kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak dipecah masuk, Selasa lalu.

Laman penyokong TBG Super Fan pada Isnin memaklumkan kerja-kerja membaik pulih lampu limpah itu sedang giat dijalankan.

Begitupun timbul kegusaran dalam kalangan penyokong kalau-kalau kejadian sama berulang lagi pada masa depan.

Ketika ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah memperketatkan kawalan keselamatan di seluruh kawasan stadium.

Meninjau ruangan komen, rata-rata penyokong The Bos Gaurus mahu kawalan di situ terus diperketatkan dengan rondaan dibuat secara kerap dan berkala.

"Lepas ni kena letak juga televisyen litar tertutup (CCTV) di situ. Letak juga pengawal keselamatan," kata salah seorang penyokong, Sabri Tajuddin.

curi-kabel-stadium-e1676646163204

Selain rondaan dan pemasangan CCTV, ada penyokong yang turut meminta supaya ada polis bantuan yang bertugas melaksanakan kawalan keselamatan di stadium.

Dalam kejadian itu, MBI mendapati bilik High Mast Pole 3 dipecah masuk yang mana hampir keseluruhan kabel dipotong dan komponen lampu limpah telah dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

MBI menganggarkan kerugian akibat kejadian tersebut sebanyak RM135,000.

Kejadian itu disedari ketika pihak MBI menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bagi persiapan menghadapi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang dijadualkan berlangsung mulai 25 Februari ini.

Kerja-kerja pembaikan telah bermula bagi membolehkan perlawanan pertama pasukan Perak FC menentang Kedah Darul Aman FC pada Liga Super diadakan mengikut jadual. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram