PERSOALAN siapa bakal menyarung lilitan kapten untuk Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim ini masih belum terjawab walaupun tinggal kurang sebulan aksi Liga Super 2023 membuka tirai.
Dengan keputusan penuh berhubung perkara tersebut terletak kepada Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain, dia nyata masih belum bersedia mendedahkan pilihannya buat masa ini.
Sebelum ini, Nafuzi memberi bayangan kepada media yang dia sudahpun mempunyai beberapa nama dan bakal dimuktamadkan kelak.
Menurutnya, pihak pengurusan akan mengumumkan kapten pasukan rasmi dalam masa terdekat.
Walaupun begitu, penyokong skuad Sang Kenari berharap agar kapten yang dipilih ini haruslah mempunyai pengalaman yang luas dan mampu mengendalikan rakan sepasukan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diduga ketika berada di atas padang.
Meskipun senarai tersebut masih tidak diumumkan, terdapat tiga nama yang bersesuaian untuk memikul tanggungjawab besar itu pada 2023.
1. Al-Hafiz Harun
Al-Hafiz juga mempunyai kelebihan tersendiri kerana dia merupakan anak jati Kedah. — Facebook/KDA FC
Pemain sayap, Al-Hafiz Harun antara nama yang disebut penyokong untuk menggalas tanggungjawab sebagai kapten skuad Hijau Kuning itu.
Selain lincah ketika berada di atas padang, Al-Hafiz juga mempunyai kelebihan tersendiri kerana dia merupakan anak jati Kedah. Bekas pemain skuad Harimau Kumbang itu mula menyertai KDAFC pada tahun 2022.
Kewibawaaan Al -Hafiz untuk mengetuai kelab Kedah dapat dilihat sewaktu perlawanan persahabatan menentang skuad Projek FAM-MSN yang mana ketika itu mereka mencatat kemenangan 6-0 ke atas pasukan tersebut.
Pemain berusia 28 tahun itu juga pernah menyertai pasukan Harimau Malaya bagi aksi perlawanan persahabatan menentang pasukan Jordan dan Uzbekistan pada 2021 namun hanya duduk di bangku simpanan.
2. Ifwat Akmal
Ifwat merupakan penjaga gol utama buat kelab untuk beberapa tahun sebelum kedatangan dua penjaga gawang baharu. — Facebook/ KDA FC
Nama penjaga gol berpengalaman, Ifwat Akmal turut dipetik penyokong untuk menjadi kapten skuad Hijau Kuning.
Walaupun baru berusia 26 tahun, nama Ifwat bukanlah nama yang asing di kalangan peminat bola sepak negeri Kedah kerana dia merupakan penjaga gol utama buat kelab untuk beberapa tahun sebelum kedatangan Kalamullah Al-Hafiz dan Fikri Che Soh.
Selain itu, pemergian beberapa pemain senior meningkatkan status senioritinya bersama pasukan apabila dia sudah berkhidmat buat pasukan itu buat beberapa tahun.
Melihat kepada pengalaman dan kelantangannya setiap kali beraksi, terdapat kemungkinan bahawa dia akan diberikan kepercayaan untuk turun dengan lebih kerap serta menyarung lilitan kapten.
3. Lee Tuck
Skuad Sang Kenari berpuas hati dengan kehadiran Lee Tuck. — Facebook/FAM
Perbelanjaan besar sepanjang jendela perpindahan menyaksikan posisi tengah KDA FC diperkuatkan dengan kehadiran pemain veteran, Lee Tuck.
Selepas menerima status naturalisasi, pemain berusia 35 tahun itu memilih untuk tidak menyambung kontraknya bersama Sri Pahang.
Meskipun perkara itu menyebabkan perasaan kurang senang dalam kalangan penyokong Tok Gajah, skuad Sang Kenari pastinya berpuas hati dengan kehadiran pemain Harimau Malaya itu.
Lebih menarik lagi, terdapat segelintir penyokong yang mula mendesak barisan kejurulatihan untuk memberikannya lilitan kapten selepas mengumpul pengalaman dalam arena bola sepak tempatan.
Tambahan pula, ketangkasan dan kecemerlangan setiap kali beraksi pastinya menyuntik semangat terhadap rakan sepasukan untuk mengerah keringat.
Persoalannya, apakah Nafuzi akan memberi kepercayaan itu selepas dia baru sahaja menyarung jersi kelab Utara tanah air itu? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,